EMPAT anggota polis di luar tugas, adalah di antara lapan lelaki dan seorang wanita yang diberkas polis dalam satu serbuan kerana sedang leka berjudi di sebuah rumah kedai di Jalan Setia Raja, Kuching, awal pagi tadi.
Inilah kisah yang memalukan. Orang suruh banteras perjudian dan pusat judi, dia pulak sibuk berjudi dan tumpang sekaki.
Ketika diserbu oleh sepasukan cawangan anti perjudian, kesemua anggota terbabit sedang leka berjudi 'holo'. Mereka adalah anggota polis dari cawangan ronda yang bertugas di ibu pejabat polis di Kuching. Semua suspek yang ditahan berusia di antara 25 tahun dan 40 tahun.
Ketua Polis Kuching, ACP Mun Kok Keong, dipetik dari laporan Bernama berkata pihaknya kesal dengan perbuatan segelintir anggota terbabit dan memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang terbabit.
Bos mana pun akan berasa hati dan marah dengan kejadian seumpama ini apatah lagi polis dan penguatkuasaan membanteras jenayah adalah sinonim pada perspektif masyarakat. Jangan sampai perbuatan nila setitik hancur satu pasukan!