PENGELUARAN kondom meningkat dan tempahan bilik hotel pula penuh. Ini adalah kombinasi dua subjek yang saling berkait menjelang malam 31 Disember kerana esoknya tahun baru.
Tahun baru, manusia menanam azam baru. Sayangnya menanam azam baru di bilik hotel dan berazam menutup kepala tetapi mengunakan sarung yang lutsinar!
Percayalah! Fenomena ini bukan rahsia dan pelik di negara kita. Di kota atau bandaraya besar, manusia menyambut tahun baru bertolak dari dasar yang sama sejak dulu-dulu. Mesti dimulai dengan upacara membasah nafsu!
Cerita remaja hilang dara di malam tahun baru akan berulang lagi dan bakal menjadi cerita di dalam media. Kisah longkang tersumbat oleh timbunan kondom terpakai yang tersangkut di mangkuk tandas juga menjadi rutin biasa pekerja majlis perbandaran atau bandaraya.
Inilah generasi yang bakal mewarnai masa depan negara. Percayalah. Ketika dentuman bunga api meletus menerjah ruang udara, ada suara tangis remaja di bangku sunyi dan di bilik rumah tumpangan mengiringi sekali.
Sembilan bulan selepas itu, rusuhlah hati pemimpin melihat angka anak-anak buangan di lorong belakang dan di tepi longkang, dihurungi semut. Maka sesudah itu rasmilah sebuah pesta bernama Malam Tahun Baru!