DIA pernah menjadi seorang tentera dan berkhidmat di sebuah Hospital Tentera di Melaka sehingga 2006. Selepas itu dia amat berani menjadi seorang 'doktor' dan berkhidmat di beberapa klinik termasuk di Rawang dan Batang Berjuntai.
Selama menyamar sebagai doktor dia telah berjaya menyambut sembilan kes kelahiran bayi di beberapa klinik tanpa disyaki sesiapa walaupun hakikatnya dia hanyalah bekas pembantu perubatan yang hanya memiliki Diploma dari sebuah kolej di Seremban.
Namun langit tidak selalu cerah. Sepandai-pandai tupai melompat, jatuh juga ke tanah. Pada 11 November lalu seorang pembantu klinik berusia 18 tahun tempat dia bertugas membuat laporan polis di IPD Klang kerana mendakwa dicabul lelaki terbabit.
Di situlah bermula segalanya. Bertindak di atas laporan cabul dibuat pembantu klinik, polis menahan lelaki itu. Akhirnya terbongkar segala tembelang. Dia bukan sahaja akan didakwa kerana kes cabul, tapi turut didakwa kerana menyamar sebagai doktor.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Shukor Sulong, berkata polis menahan bapa 9 anak berusia 41 tahun itu jam 11.30 pagi di sebuah klinik di Taman Klang Utama ketika sedang bersiap-siap mahu menyambut kelahiran seorang bayi!
Menurut Mohd Shukor, bekas tentera itu hanya memiliki Diploma dan pernah bekerja sebagai pembantu hospital sebelum diterima berkhidmat di dalam ATM. Dia berhenti pada tahun 2006 daripada perkhidmatan tentera dan selepas itu bekerja sebagai doktor palsu di beberapa tem;pat termasuk Rawang dan Batang Berjuntai.