SELEPAS membalas dendam dan memalukan Indonesia malam tadi dengan kemenangan 3-0, pasukan negara dilaporkan bakal terbang ke Jakarta hari ini.
Tugas berat menanti di sana walaupun sebelah tangan telah menggenggam piala Suzuki AFF itu. Gelora Bung Karno pasti melaut merah dan geram, merah dan berang di atas kekalahan memalukan pasukan Indonesia. Seperti biasa, tekanan psikologi tidak mahu tidak mesti dipikul, apatah lagi faham dengan fenomena dan sikap anarkis penonton di sana.
Jadi perkara terbaik, biarlah menjadi mesin pintar yang membuang perasaan, tetapi membawa misi dan matlamat menyudahkan tujuan!
Bergeraklah di padang permainan nanti bagai sepasukan mesin pintar yang berlawan tanpa erti penat, takut atau bimbang. Mesin pintar hanya tahu menyerang dan bertahan mengikut formula yang telah disetkan oleh jurulatih.
Kenapa harus khuatir bertarung di tempat orang? Ayuh...Sesekali manusia perlu menjadi mesin pintar apabila masuk pertandingan yang bakal ditekan oleh desakan emosi manusia. Mesin yang pintar tidak tahu takut dan bimbang. Mesin yang pintar adalah jawapan untuk menentang lautan merah!