DALAM tempoh yang singkat sejak semalam hingga jam 9.30 pagi tadi, seramai 56,624 ahli facebook yang bergabung dalam akaun Satu Juta Facebooker mendesak Ketua PSSI, Nurdin Halid meletakkan jawatan segera ekoran kekalahan Indonesia kepada Malaysia dalam pertandingan akhir piala Suzuki AFF, malam tadi.
Tempointeraktif melaporkan, kesemua yang membuat desakan itu kesal kerana persatuan bola sepak di Indonesia tidak berkembang atau maju sejak ia diterajui oleh Nurdin.
Malah sesetengah di antara ahli facebook itu turut menyatakan bahawa Nurdin seorang yang korup dan terlibat dalam kes jenayah.
Mereka mahu, pengganti yang baru yang dapat melonjakkan semula pasukan bola sepak Indonesia ke tahap yang lebih tinggi.
Demikianlah harga yang perlu dibayar oleh Nurdin akibat kekalahan yang masih tidak boleh diterima oleh penyokong pasukan bola sepak Indonesia ke atas Malaysia. Namun, Nurdin dipetik media negara itu tetap bertegas bahawa dia tidak akan berundur hanya kerana didesak oleh penyokong yang fanatik dan kurang faham tentang perkembangan bola sepak.