nuffnang ads

Sunday, November 7, 2010

TAUBAT AKU CARI BINI KAT INDONESIA! TAUBAT AKU!!

KELUH seorang sahabat. Tubuhnya yang dulu berisi nampak hilang. Di sebalik kemeja sedikit labuh, dia tak mampu menyembunyikan tubuhnya yang semakin keding!

"Taubat aku!" keluhan meleleh keluar dari celah bibirnya yang dipagar kumis berbunga lalang. "Taubat aku dapat bini kat sana!"

 "Kenapa? Kan bini nombor dua engkau tu baik..muda lagi...cantik pulak" saya mengumpan.


 "Bukan dia, tapi mak bapak dia, keluarga dia, adik beradik dia, saudara mara dia!" tona suaranya sedikit tinggi. Dilurutnya misai yang mula tidak tersisir rapi seperti sebelum-sebelum ini. "Aku dah jadi gunung kena tebuk...dah paras tanah dah aku ni!" sambung keluhnya sambil membetulkan duduk.

Kami hadap secawan kopi panas. Petang semalam, di gerai depan kompleks beli-belah di Shah Alam kami berdua. Saya mahu mendengar lagi apa ceritanya tentang bini kedua itu!

Diteguknya kopi perlahan-lahan. "Aku ingat nak ceraikan ajelah!"

Kopi yang saya teguk hampir tersembur. "Kau gila?" saya memarahinya. "Kahwin setahun dua campak bini macam tu!" saya sambung bebel.

"Aku dah tak sanggup lagi..hari-hari duit..hari-hari duit!" bebel sahabat saya yang mempunyai sedikit perniagaan di Indonesia. "Tauke babi pun jual kandang!" akhirnya saya tahu dia marah dengan keadaan yang sedang menimpanya.

Saya pujuk supaya dia reda. "Kau tak bincang dengan Asteni?"

"Aku bagi bunga-bunga aje, sebab dia pun macam tak nak faham. Aku dah suruh dia nasihatkan keluarga dan waris-waris dia jangan buat perangai macam semut kutung gula!" jelasnya. "Tapi dah dekat setahun. Minggu dulu, aku rabak RM15,000. Sebab konon nak beli kerbau nak buat korban. Bukan mak bapak dia saje yang nak. Pak cik dia pun turut mengapak aku!"

Saya terdiam. Rupanya tidak mudah berkahwin dengan mereka yang tidak faham cara dan gaya hidup orang lain.

"Engkau tahu?" sahabat saya bercerita lagi. "Ni..masa aku nak balik. Empat lima orang saudara mara Asteni pesan nanti tolong belikan macam-macam ubat untuk stok enam bulan. Ubat selsemalah, ubat kayaplah, ubat batuklah, panadol dan apa bagai lagi. Tapi semua pesan dengan air liur..mati aku...mati aku..!"

"Asteni tak cakap apa?"

"Bini muda aku tu tahunya apa? Tahunya gembira dan senang-senang aje...Soal macam ini dia macam tak ambil fikir!" jawab sahabat saya.

'Habis tak kanlah fasal saudara mara dia kau nak bercerai pula dengan Asteni?" saya bertanya. "Engkau tak sayang dia?"

Apa sahabat saya kata? Begini: "Aku dah jumpa orang lain kat Sumatera. Budaknya baik, sopan santun..keluarga dia orang pun bagus tak macam keluarga Asteni. Memanglah aku sayang Asteni...tapi kalau lama aku dengan dia, aku boleh bangkrap..!!!"

Saya halakan kepala ke langit. Silapkah saya mendengar apa yang dikatakannya sebelum ini. Konon bertaubat nak cari bini muda di Indonesia, tapi sampai akhir cerita rupanya ada simpan stok lain. Juga di Indonesia.

Dalam hati saya kata, sahabat macam ini cakap dia boleh didengar tapi pakai jangan sekali-kali...hehehee

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10