SEMALAM, hari cuti umum kerana Aidiladha. Bermakna pejabat kerajaan dan pegawainya turut bercuti dan urusan berkaitan tidak dapat dilaksanakan.
Namun tidak bagi seorang Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Jainisah Mohd Noor. Walaupun sibuk menyambut Aidiladha dan sibuk melayani keluarga serta sanak saudara, beliau tetap menunjukkan sifat terpuji sebagai seorang pegawai kerajaan.
Kalau Perdana Menteri terbaca catatan ini, renungkanlah betapa susahnya rakyat mahu menemui sebutir intan di antara sejuta pasir dalam genggaman. Jainisah ada hak untuk tidak menjawab sistem pesanan ringkas saya kerana beliau adalah kakitangan kerajaan dan mempunyai rasional amat kukuh untuk bersikap tidak peduli kerana beliau sedang bercuti.
Namun, saya percaya berkat didikan keluarga sejak kecil, dia dilahirkan untuk menjadi manusia dan pegawai kerajaan yang mesti diberi pujian dan penghargaan.
Saya sengaja menguji sejauh mana sikap seorang pegawai kerajaan terhadap rakyat yang amat memerlukan masalah mereka diselesaikan.
Di bawah saya turunkan semula SMS saya dan Jainisah yang menyentuh hati saya:
SMS SAYA: Asslmkm. Maaf mganggu puan. Bhubung pmohonan ic ..........................Ada pkembangan apa2 puan? salam. Hamid karim.
SMS JAINISAH: Minta maaf, ada banyak kes, ni kes yang mana satu ye?
SMS SAYA: Kes yang..........
SMS JAINISAH: OH ok, dlm 2 minggu lepas kes dia ada d bincang dlm mesy, dimaklumkan bahagian kad pengenalan masih tidak menerima maklumbalas dr kedutaan indonesia berkenaan status pengesahan sijil nikah Indonesia yg di kemukakan. Esok saya minta staf saya semak semula.
SMS SAYA: Terima kasih puan.
Sengaja saya catatkan di sini untuk membuka mata pegawai kerajaan lain, khususnya yang terbabit di bahagian perhubungan awam, agar menjadi contoh dan ikutan betapa sikap merendah diri dan sanggup bersusah membantu rakyat amat dihargai. Kepada Jainisah, tahniah! Anda adalah lambang keprihatinan pegawai kerajaan yang bakal menjulang imej baik.
Kedua, saya catatkan kerana saya dan ramai rakyat jelata berdepan pengalaman 'mengerikan' apabila berurusan dengan pegawai kerajaan lain pada waktu bekerja (diulangi, pada waktu bekerja).
Pengalaman saya memohon untuk meminta cop dan tandatangan seorang pengetua sekolah di Shah Alam bagi pengesahan pada dokumen anak untuk memasuki universiti masih basah dalam memori. Pengetua itu bukan sahaja tidak mahu keluar dari bilik atau membenarkan saya menemuinya, sebaliknya meminta seorang guru lain berurusan dengan saya atas alasan sibuk, sedangkan dokumen itu hanya layak dicop dan tandatangani pegawai menjawat jawatan pengetua dan hanya mengambil masa tidak sampai lima minit! Sedangkan pengetua itu tiada tetamu di dalam biliknya atau tidak berbuat apa-apa ketika itu! Sungguh biadab! Menteri Pelajaran harus melihat budaya lupa diri segelintir pegawai kerajaan seperti ini! Contohi Jainisah Mohd Noor.