KORESPONDEN TV3 di Indonesia, Didik Budiarto bersama jurukameranya lintang pukang melarikan diri ketika cuba merapati punca Gunung Merapi pagi tadi.
Letusan Merapi secara tiba-tiba menyebabkan mereka memecut kenderaan menuruni lereng bagaikan orang gila kerana dihambat debu panas dan awan merah yang muntah dari kawah gunung berkenaan.
Menurut Didik, dia dan rakannya cuba untuk mendapatkan gambaran lebih jelas dan dekat sebagai bahan siaran televisyen TV3 lalu membuat keputusan mendaki menggunakan kenderaan ke puncak gunung itu pagi tadi. Bagaimanapun, tidak semena-mena Merapi 'terbatuk' lalu mengeluarkan muntah panasnya.
"Kami memecut kenderaan selaju mungkin kerana awan merah dan debu panas menghambat begitu pantas. Sampai sekarang jurukamera, Paulus Dodi masih trauma dan tidak boleh berdiri serta muntah-muntah," katanya.