nuffnang ads

Sunday, November 7, 2010

KETUA PENGARAH JABATAN PENYIARAN KATA THE STAR ' ADA UDANG SEBALIK MEE '

KETUA Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya atau lebih kami kenali sebagai Tiger sejak dulu, kini dan selamanya, dalam blognya menyentuh 'buang tabiat' akhbar The Star hari ini.

Kata Tiger tindakan The Star menyiarkan dua laporan berita dan gambar tentang Menteri Besar Kedah mengharung banjir pada muka depan dan cerita seorang anak muda Melayu menjadi ahli parti DAP macam sesuatu yang pelik - ada udang sebalik batu?

Tiger meluahkan rasa terkejut sebuah akhbar milik MCA katanya boleh menyiarkan berita itu. Satu perkara yang jelas, Tiger telah mengesahkan The Star adalah akhbar politik. Kedua, Tiger mengakui, adalah tidak wajar sebuah akhbar seperti The Star menyiarkan gambar atau berita mengenai pemimpin atau ahli parti politik pembangkang.


Pertanyaan ikhlas sebagai sahabat ialah, berdosa dan haramkah gambar seorang pemimpin negeri bergelar menteri besar disiarkan di dalam akhbar The Star yang tidak tertulis pada muka depannya: HANYA UNTUK AHLI PARTI MCA.

Haramkah juga gambar seorang pemuda Melayu yang fasih berbahasa Mandarin menjadi ahli DAP dan kemudian berita mengenainya disiarkan The Star. Tiger seharusnya melihat yang tersirat di sebalik berita itu tentang kemajmukan dan kejayaan anak Melayu menguasai bahasa asing dan bukannya melihat yang tersurat bahawa dia adalah ahli DAP.

Kalau mahu dikaitkan catatan itu dengan prasangka tertentu di sebalik pembelian akhbar The Star oleh MCA, saya rasa  tidak menguntungkan juga dipersoalkan tindakan menyiarkan laporan mengenai pemuda Melayu itu. Apakah kita takut melihat songkok pada pemuda itu ada lambang DAP?

Saya bimbang sangat kalau Tiger melihat songkok dengan tafsirannya yang sempit. Saya bimbang Tiger melihat songkok sebagai Melayu dan lambang DAP atau roket sebagai Cina! Ketika Najib menerjangkan suaranya ke langit melaungkan tentang konsep 1Malaysia, kita jangan pula membantahnya bang!

Atau adakah kita khuatir anak muda Melayu yang membaca akhbar itu akan segera menyertai DAP? Dan kalau mereka masuk DAP pun, salahkah? Atau sememangnya layak bagi seorang menteri besar parti pembangkang disiarkan gambarnya di dalam suratkhabar parti politik sahaja? Tidak layak disiarkan di dalam akhbar yang konon diklasifikasikan sebagai akhbar arus perdana? Akhbar yang dijual kepada setiap pembaca tanpa mengira ideologi politik mereka?

Saya tidak tahu, apakah yang dicatatkan Tiger dalam blognya itu diluahkan atas kapasitinya sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran? Sebabnya sebagai pengamal media yang veteran yang pernah bekerja di Berita Harian, TV3, Berita Publishing, pejabat Ketua Menteri Melaka dan RTM, saya rasa Tiger tidak patut terkejut dengan tindakan The Star menyiarkan laporan itu.

Pertama kerana Tiger wajar melihat skop suratkhabar secara meluas dan bukan melihat akhbar yang dijual kepada orang awam, mesti bertindak seperti akhbar atau majalah sekolah yang lebih menumpukan hal-hal sekolahnya semata-mata.

Media hari ini sepatutnya telah dewasa dan kita yang bekerja dengan media itu juga harus ikut dewasa. Dewasa dengan bersedia merentas keadaan semasa dengan membuang prasangka dan kekhuatiran yang tidak berasas.

p/s bukan belasah bang...tapi tembak.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10