nuffnang ads

Wednesday, November 24, 2010

JODOH KAMI DITENTUKAN JABATAN PENDAFTARAN NEGARA!

BUNYINYA ZALIM DAN KERAS, tetapi itulah hakikat yang terpaksa dilalui oleh seorang gadis yang tidak boleh bernikah kerana tidak mendapat MyKad, walaupun telah memohonnya lebih 12 tahun lalu.

Shahida Othman, 22, sepatutnya bernikah pada 15 November lalu, namun hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana jurunikah enggan menikahkannya selagi dia tidak memperolehi MyKad sebagai bukti seorang warganegara Malaysia.

Sebagai meluahkan kehampaannya, Shahida berkata kini dia menyerahkan kepada takdir dan jika terpaksa putus tunang dan gagal bergelar sebagai seorang isteri, dia redha. Dia juga meluahkan kekecewaannya kalau kerana ketiadaan MyKad menyebabkan dia menjadi anak dara tua!

Shahida dibesarkan di Malaysia namun ibunya Shamsiah Desa, 45, melahirkannya di Wang Prachan, Satun di selatan Thailand, 22 tahun lalu. Sebelum ini dia dapat bersekolah sehingga ke peringkat SPM atas inisiatif gurunya tetapi gagal meneruskan pelajaran selepas tidak mempunyai Mykad untuk menduduki STPM.

Ayahnya rakyat negara ini dan kakak serta dua adiknya mempunyai MyKad dan sijil lahir. Shahida kini hanya bergantung kepada sekeping resit permohonan kad pengenalan yang dikeluarkan JPN sebagai pengenalan diri dan tidak mampu bergerak jauh kerana bimbang ditahan pihak berkuasa.

Shahida tiada MyKad.
Kes Shahida ini sama seperti kes Noraida Baharin dari Port Dickson. Bapa Noraida rakyat Malaysia berkahwin dengan wanita Indonesia. Peliknya Noraida mempunyai sijil lahir kerana dilahirkan di negara ini tetapi sehingga kini permohonannya untuk mendapatkan kad pengenalan tidak lagi berhasil!

Ayah Noraida tidak dapat dikesan dan empat bulan lalu dia menyerahkan salinan sijil nikah ayahnya di Indonesia seperti dikehendaki oleh JPN, namun sehingga kini difahamkan kes permohonan kad pengenalannya tidak selesai.

Malang bagi seorang anak yang lahir di tanah kelahirannya bernama Malaysia tetapi tidak memiliki kad pengenalan walaupun hampir mencecah 22 tahun! Sijil lahirnya bukan lagi menjadi faktor atau penyokong untuk dia memohon MyKad. Dia bukan warga negara Indonesia dan bukan wargannegara Malaysia.

KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA, TOLONGLAH LIHAT APA YANG BERLAKU INI. Kedua-dua anak gadis ini tidak pernah meminta untuk dilahirkan! Sebutir-sebutir benih kebencian tumbuh di dalam hati anak bernama anak Malaysia!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10