Kanak-kanak tiga tahun yang merayau meninggalkan ibunya, dilayan penuh simpati oleh anggota polis Sibu. Terima kasih polis! (SUD) |
Sebaik sahaja keluar, kira-kira jam 11.45 pagi tadi, si ibu terkejut besar apabila si anak lelaki yang baru berusia 3 tahun mungkir janji dan tidak menunggunya seperti disuruh. Si ibu jadi gelabah.
Si anak rupanya telah merayau sehingga ke tepi jalan dan kemudian menangis kerana kehilangan arah. Mujur seorang pengguna jalan raya prihatin dan menghubungi polis mengenai penemuan seorang kanak-kanak lelaki. Polis yang tiba kemudian membawa kanak-kanak itu ke balai polis kerana gagal mengesan ibunya.
Si ibu berusaha juga mencari selama dua jam dan akhirnya terpaksa bergegas ke balai polis Sentral di Sibu untuk membuat laporan kehilangan si anak.
Namun sebaik sahaja tiba di pintu masuk bilik pertanyaan, si ibu berasa bagai mati hidup semula apabila mendapati si anak sedang tekun menonton televisyen sambil dilayan beberapa anggota polis yang bersimpati.
Moral cerita: Jangan berjanji dengan kanak-kanak bawah umur. Satu lagi, kaum ibu mesti pastikan anak yang kecil jangan dibiar bersendirian walaupun si anak berjanji tidak akan ke mana-mana!