PAKAR kekeluargaan menyifatkan gempa bumi yang berlaku dan meranapkan bandar Wenchuan di wilayah Sichuan pada tahun 2008, menjadi punca perceraian di wilayah itu mencatatkan angka paling tinggi bagi tiga suku pertama tahun ini.
Berdasarkan statistik Kementerian Hal Ehwal Awam, sepanjang 9 bulan pertama tahun ini, sebanyak 1.3 juta pasangan telah mendaftarkan perceraian mereka di seluruh China.
Daripada jumlah itu, wilayah Sinchuan yang terletak di selatan China, mencatatkan angka tertinggi, iaitu sebanyak 102,596 pasangan bercerai. Angka itu amat mengejutkan pakar kerana pada tahun 2009, Sinchuan menduduki tangga ketujuh di segi bilangan pasangan yang bercerai.
Malah peningkatan ketara juga dikesan berlaku di ibu kota wilayah itu, Chengdu, apabila sebanyak 39,020 pasangan telah bercerai tahun lalu, berbanding hanya 13,525 pada tahun 2003.
Pakar kekeluargaan dan ahli psikologi berkata gempa bumi berskala Richter 8.0 yang melanda pada tahun 2008 dan membunuh 69,000 penduduk di wilayah Sichuan selain 18,000 yang hilang dan tidak dapat dikesan telah mengubah cara pemikiran penduduk di wilayah itu.
Kebanyakan penduduk mula berpandangan bahawa kehidupan kini semakin singkat dan berdepan pelbagai keadaan di luar duga. Berikutan itu ramai juga yang tidak mahu berfikir tentang masalah keluarga dengan mengambil jalan singkat bercerai apabila tiada lagi persefahaman.
Kecenderungan berfikir begitu menyebabkan kadar perceraian di Sichuan meningkat berganda-ganda mulai tahun ini! (China Daily)