nuffnang ads

Monday, November 1, 2010

CADANGAN UJIAN JPJ GUNAKAN KERETA AUTOMATIK AKAN TINGKATKAN KEMALANGAN

CADANGAN kerajaan untuk membenarkan calon ujian praktikal JPJ menggunakan kereta automatik bagi mendapatkan lesen perlu dipertimbangkan semula. Ini kerana langkah itu dipercayai lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat.

Sebelum ini JPJ juga sedia mempertimbangkan cadangan itu, tetapi ia terpaksa ditangguhkan kerana bantahan dan pandangan daripada pelbagai pihak yang melihat ia hanyalah satu langkah yang bakal meningkatkan lagi kadar kemalangan di negara ini.

Rasional kenapa ujian menggunakan kereta automatik masih tidak boleh dilakukan di negara ini adalah kerana tahap penguatkuasaan undang-undang masih lagi rendah dan tidak mencapai standard digunapakai seperti di negara Eropah yang telah lama memperkenalkan sistem itu.

Kita harus maklum, syarat yang akan dikenakan bagi mereka yang lulus ujian menggunakan kereta automatik ialah mereka tidak dibenarkan menggunakan kereta bergear manual selepas memiliki lesen! Ada sebab kenapa mereka tidak dibenarkan menggunakan kereta bergear manual selepas mendapat lesen. Sebab paling utama ialah, kaedah pemanduan menggunakan gear manual lebih sukar berbanding gear automatik. Ini pasti menyulitkan keadaan, apatah lagi semua calon yang diuji menggunakan kereta automatik, tidak diajar menggunakan kereta manual sebelum mereka menduduki ujian JPJ.

Andailah penguatkuasaan akan dipertingkatkan untuk mengesan pemilik lesen automatik yang menggunakan kereta bergear manual, sejauh mana pula kemampuan penguatkuasa untuk menjalankan tugas mereka. Malah kalau dilihat secara logik, kenapa kita harus bersusah menguatkuasakan undang-undang melarang mereka menggunakan kereta bergear manual? Bukankah cara paling baik, semua pemegang lesen diuji menggunakan kereta bergear manual seperti dilakukan sekarang. Pemandu yang berkemahiran memandu kereta bergear manual, lebih mudah mengendalikan kereta automatik, tetapi keadaan adalah di sebaliknya jika pemandu hanya tahu mengendalikan kereta bergear automatik sahaja.

Perbuatan mencuri-curi membawa kenderaan bergear manual di kalangan pemegang lesen kereta automatik, tentulah sukar dibendung. Akibatnya kerana kurang mahir, mereka akan berdepan kemalangan.

Seperkara lagi, kebanyakan kereta yang dikeluarkan di negara ini adalah bergear manual. Pasti akan berlaku satu keadaan di mana industri automobil terpaksa menyesuaikan pengeluaran kereta bagi menampung keperluan mereka yang memiliki lesen kenderaan bergear automatik ini. Hal ini tentulah melibatkan kos dan pelbagai masalah sampingan seperti lambakan bahan ganti yang sedia ada.

Kerajaan, ketika pada satu masa mahu melihat jalan raya di negara ini tidak bertukar menjadi sungai mayat, tetapi pada satu keadaan dan masa yang lain mengizinkan jalan raya bertukar menjadi lautan maut. Kita faham kerajaan menerima tekanan daripada pihak tertentu dalam melaksanakan sistem ujian menggunakan kereta automatik ini, tetapi kerajaan harus bertanggungjawab terhadap kesan pelaksanaan sistem itu nanti.

Satu hal lagi yang tidak boleh kita lupakan ialah tentang tahap kesedaran pengguna jalan raya di negara ini. Ketika kebanyakan pemandu masih seronok mengamalkan pemanduan laju berbanding pemanduan berhemah, penggunaan kereta automatik juga akan menyebabkan mereka lebih seronok menjadikan jalan raya sebagai litar lumba Ini kerana mudahnya mengendalikan kenderaan itu. Tekan sahaja, kereta pergi ikut suka!

Tindakan yang akan diambil oleh kerajaan ini mesti diperhalusi kerana kesan jangka panjangnya nanti sama seperti wujudnya sekolah banyak aliran. Akhirnya ramai rakyat Malaysia tidak tahu berbahasa Malaysia!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10