nuffnang ads

Sunday, November 21, 2010

1MALAYSIA HANYA MIMPI DI SIANG HARI: BUKTINYA LIHAT DI TADIKA KEMAS!

BANYAK duit dihabiskan untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak pra-sekolah. Ini termasuk peruntukan gaji untuk guru Kemas dan pembinaan serta kos penyelenggaraan premisnya. Kita harus tidak berasa malu, berterima kasih kerana peruntukan itu memang jelas ada baiknya.

Pada masa yang sama kita juga jangan menghina dan memandang negatif peranan tadika swasta yang turut memberi sumbangan serupa - kebaikan jua. Termasuk yang diuruskan oleh parti pembangkang. Bercerita soal kebaikan, kita harus mengakui kebaikan tetap kebaikan.

Namun kita buang soal itu ke tepi. Kita pandang dari sisi lain, iaitu melihat tadika Kemas berdasarkan kedudukannya sebagai ejen asas pembentukan nilai-nilai perpaduan di negara yang majmuk ini.

Jika di sesebuah negeri mempunyai 300 secara purata tadika Kemas, cuba hitungkan berapa pelajar yang ditampungnya? Jika sebuah tadika mempunyai 50 pelajar, bermakna terdapat 15,000 pelajar menerima manfaatnya.

Secara jujur pula, berapa kerat sangat anak kaum Cina dan India memasuki tadika Kemas ini? Kita jangan berbohong pada realiti. Dianggarkan bagi setiap 50 pelajar di tadika Kemas, hanya ada tiga anak Cina dan seorang anak India. Maknanya, dari sejumlah 15,000 pelajar tadika Kemas di sesebuah negeri, hanya ada 900 anak Cina dan 300 anak India. Di segi matematik hanya sekitar 6 peratus anak Cina dihantar ke tadika Kemas manakala anak India pula hanya sekitar 2 peratus!

Kebanyakan anak Cina dan India dilihat berada lebih ramai di tadika swasta, sama ada dianjurkan oleh orang persendirian, syarikat, badan bukan kerajaan mahupun parti politik!

Berdasarkan congak mudah ini, di mana sebenarnya kebenaran bahawa kita mampu merealisasikan konsep 1Malaysia dalam tempoh terdekat, sedangkan konsep itu yang menjurus kepada pembentukan negara bangsa sepatutnya mesti bermula daripada peringkat kanak-kanak.

Keadaan ini kemudian menjadi parah apabila memasuki tahun satu di sekolah rendah  jurang itu terus dilebarkan apabila kebanyakan anak Cina dan India memasuki sekolah kebangsaan aliran bahasa masing-masing.

Ini yang dikatakan jika kerajaan menganggap konsep 1Malaysia sesuatu yang mudah dicapai, ia umpama orang yang bermimpi di siang hari.

Ketika proses asas menuju ke arah konsep itu, iaitu penyemaian nilai perpaduan dan kesepakatan satu negara di peringkat kanak-kanak masih cacamarba, bagaimana pula kita mahu melihat hasil 1Malaysia tumbuh  subur begitu mudah di negara ini.

Nampaknya satu lagi konsep yang diperkenalkan seperti juga seribu satu konsep yang pernah diperkenalkan sejak merdeka akan hanyut bersama  mimpi siang yang tak habis-habis!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10