SEORANG remaja perempuan Melayu berusia 18 tahun retak tulang hidungnya apabila ditumbuk teman lelakinya dalam satu pertelingkahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Temerloh, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) malam tadi.
Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh dan menerima rawatan kira-kira jam 8.30 pagi tadi manakala teman lelakinya menyerah diri.
Mengimbau kejadian, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Nordin Mustapha berkata, mangsa yang tinggal di Jengka 19, Maran dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menaiki bas kira-kira jam 9 malam.
Apabila tiba di R&R Temerloh, mangsa menghubungi teman lelakinya yang tinggal di Jengka 18, minta dijemput.
Bagaimanapun, apabila mereka berjumpa, bukan rindu yang berbunga tapi pertelingkahan yang bermula. Dipercayai teman lelaki mangsa berasa cemburu kerana hal tertentu, lalu berlaku pertelingkahan di antara kedua-duanya.
Disebabkan angkuh dan ego, teman lelaki mangsa akhirnya menutup mulut teman wanitanya yang sedikit celupar dengan satu das tumbukan tepat mengenai hidung. Tumbukan itu menyebabkan tulang hidung mangsa patah.