TIGA sekeluarga maut manakala enam yang lain cedera, apabila dua kereta bertembung di Kilometer 42.7 Jalan Kuala Kangsar, Lenggong di Grik Perak kira-kira jam 10 pagi tadi.
Mereka yang terbunuh ialah Abdul Lagis Zakaria, 40, anak lelakinya, Mohd Mukmin, 4, dan ibu Lagis, Kamariah Ahmad, 62.
Sementara yang cedera pula ialah bapa Lagis, Zakaria Jasin, 67, Ghatimah Mun, 80, anak perempuan Lagis, Norasyikin, 17, dan seorang lagi belum dikenali. Manakala seorang lagi adalah pelajar UiTM yang kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar.
Ketua Polis Daerah Grik, Superintendan Mahat Nor Abdullah, berkata kemalangan itu berlaku apabila kereta Proton Saga dipandu Lagis bertembung sebuah kereta lain jenis Proton Wira yang dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
Keluarga Lagis berasal dari Kuala Ketil, Kedah.