TIGA keluarga Melayu dan Indonesia hari ini datang ke bilik mayat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk membuat pengecaman, sebaik sahaja berita penemuan mayat seorang gadis di dalam beg ditemui di Ukay Perdana, di Hulu Klang, semalam.
Bagaimanapun, selepas pengecaman dilakukan ketiga-tiga keluarga berkenaan mengesahkan mayat itu bukan waris mereka yang hilang sebelum ini.
Ketua Polis Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan, berkata sehingga kini juga belum ada laporan terbaru mengenai kehilangan ahli keluarga dilaporkan yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat berkenaan.
Beliau percaya, mayat itu adalah wanita warga asing kerana tiada kesan suntikan vaksin BCG ditemui pada lengannya berbanding warga tempatan yang wajib menjalani suntikan itu.
Mayat gadis berkulit sawo matang itu ditemui di dalam beg, dipercayai dibunuh sebelum dibuang tidak jauh dari sebuah bengkel membaiki kereta di Hulu Klang, kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Sementara itu, Abdul Jalil juga menyatakan pemeriksaan awal mendapati pendarahan teruk di perut dipercayai menjadi punca wanita itu meninggal dunia. Dia dipercayai ditendang atau dipukul dengan objek keras di perutnya oleh penyerangnya.