DUA hari lalu sebanyak 12 kali pecubaan untuk mengghaibkan Siti Balqis Md Noor berlaku, namun semuanya berjaya dikesan dan dihidu keluarga serta penduduk yang berkawal.
Namun Siti kini terlalu lemah dan tidak bermaya. Keluar dari mulutnya semalam bahawa kalau dia ghaib sekali lagi, itu adalah ghaibnya untuk kali terakhir dan jika dicari nanti, hanya akan bertemu mayatnya sahaja.
Kata-kata itu berupa amaran dan ini menyebabkan keluarganya tersentak. Mungkinkah jin yang cuba mengganggunya kini semakin marah apabila Siti mula menjalani rawatan perubatan Islam?
Ibunya, Norizan juga berkata kini tiada lagi batu-batu bernilai tinggi seperti zamrud dan permata gugur dari atas rumah. Kesemua 12 batu berharga yang turun sebelum ini disimpannya di dalam bekas mengandungi air zam-zam seperti disarankan pengamal perubatan Islam.
Begitu pun menurut Norizan, dia sekeluarga diuji lagi kerana sejumlah RM2,000 wang yang disedekahkan orang ramai telah hilang dari tempat simpanannya dipercayai disorok oleh jin yang selalu mengghaibkan Siti Balqis selama ini.
Katanya, tidak mungkin wang itu dicuri orang kerana dia tersimpan di dalam al-Quran dan ada di dalam bilik Siti yang sentiasa berkunci dan dijaga ramai orang.
Kini rumah Siti Balqis dikawal rapi berikutan keadaan dan amaran yang dikeluarkan oleh Siti. Penduduk kampung dan ahli keluarga kini saling membantu bagi memastikan tiada yang buruk berlaku.