SEORANG lagi bayi mati ketika di dalam asuhan pengasuh, di sekitar Putrajaya. Kali ini seorang bayi berusia lima bulan, Muhammad Firdaus Hakim Faizal Hafiz meninggal dunia selepas 24 jam bertarung di unit rawatan rapi selepas dikatakan terjatuh di kediaman pengasuhnya di Presint 14.
Ibu bayi malang itu, Nur Zulaihan Mustapa, 25, berkata sebelum dihantar untuk dijaga pengasuh, anaknya itu sihat dan tidak berdepan sebarang masalah kesihatan.
Bagaimanapun, kira-kira jam 1 tengah hari Selasa lalu, dia menerima sms daripada pengasuhnya meminta mengambil anaknya kerana dikatakan berada di dalam keadaan lemah. Nur Zulaihan kemudian meminta suaminya, Faizal Hafiz Abdullah yang kebetulan berada di rumah segera melihat anaknya itu.
Apabila suaminya tiba di kediaman pengasuh yang turut menjaga empat kanak-kanak lain termasuk kembar, serta empat anak sendiri, suaminya memberitahu anaknya itu semakin lemah dan wajahnya kebiruan. Pengasuh berkenaan mendakwa anaknya terjatuh.
Di hospital doktor memberitahunya ada kesan darah beku di kepala anaknya dan pegawai perubatan berusaha untuk menyelamatkan Muhammad Firdaus yang mula tidak sedarkan diri. Bagaimanapun, selepas 24 jam anaknya disahkan meninggal dunia semalam.
Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Darah (IPD) polis Putrajaya. Ketua Polis Daerah, ACP Abdul Razak Abdul Majid, mengesahkan laporan itu.
Nur Zulaihan sedih kehilangan anak sulung, Muhammad Firdaus (gambar kecil) - HARIAN METRO |