RIBUT luar biasa dan sesetengah penduduk menggelarkannya sebagai cucu taufan, telah menumbangkan lebih 5,000 pokok getah di ladang Felda Chuping, Perlis dalam satu kejadian yang berlaku secara tiba-tiba kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
Ia membabitkan kerosakan ladang seluas 30 hektar yang telah ditanam getah berusia 3 hingga 4 tahun. Pengurus Felda Chuping, Abdullah Pirus Ishak, berkata pokok berkenaan dijangka boleh ditoreh dua atau tiga tahun lagi.
Beliau mengganggarkan kerugian lebih RM60,000.
Turut musnah dalam kejadian ribut cucu taufan itu ialah tujuh rumah yang tercabut bumbungnya diterbangkan angin, membabitkan kawasan Chuping, Beseri dan Bintong.