MAHU atau tidak, malu atau tidak kita kena menerima hakikat, Port Dickson semakin laju dan maju menjadi bandar hab berdadah (istilah untuk lokasi pesta hiburan mentedarah dadah) berbanding mahu dilihat sebagai bandar tentera, seperti diungkap pada kempen pilihanraya kecil Bagan Pinang dulu.
Semakin banyak kes kumpulan berpesta dadah dikesan menjadikan hotel dan rumah penginapan di sekitar bandar itu. Terbaru awal pagi tadi apabila sekumpulan 17 orang ditahan kerana meracau dan lalok selepas berpesta dadah di dalam bilik sebuah hotel di bandar itu.
Meriahnya pesta itu boleh dilihat daripada jumlah 9 wanita yang ditahan berbanding 8 lelaki. Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Baljeet Singh mengesahkan tangkapan itu. Menambahkan makna meriahnya pesta yang mereka adakan ialah dengan wujudnya gangguan sehingga menjejaskan keharmonian penghuni bilik hotel yang lain.
Tangkapan pagi tadi bukan kali pertama dilaporkan. Sebelum ini media mewah dengan berita seumpama itu, termasuk juga berita khalwat dan zina. Maknanya, hotel dan rumah penginapan di Port Dickson adalah satu lokasi yang amat menarik keinginan orang luar untuk datang ke situ berpesta-pestaan.
Pelancong atau pengunjung sudah menganggap Port Dickson bandar hab berdadah yang selamat dan murah! Kalau dilakukan operasi serentak ke atas setiap bilik di hotel di Port Dickson, tentu banyak lagi pesta serupa akan dapat dikesan. Percayalah!
Apakah kegiatan berpesta dadah ini terutama yang berlaku pada malam minggu atau musim cuti akan terus dibenar dan didiamkan oleh kerajaan negeri, ketika laungan untuk menjadikan bandar itu sebagai bandar tentera semakin senyap pula laungannya. Satu ketika dulu Baitul Hilal yang menjadi tempat melihat anak bulan juga sering menjadi mangsa pesta maksiat dan dadah.
Kini dengan meningkatnya bilangan hotel yang tegak bagai cendawan tumbuh, mampukah kita berdepan serangan penyakit sosial ini dan membendungnya agar tidak terus berleluasa? Cerita bandar hab berdadah ini hanyalah cerita di atas karpet yang boleh disapu. Tentang cerita di bawah karpetnya yang tersembunyi begitu banyak sub-gejala sosial seperti kegiatan menyewa bilik untuk melampiaskan nafsu oleh golongan muda pula, bagaimana?
Bukalah mata kita. Bandar Port Dickson jangan terus dijadikan bandar bacang yang licin kulitnya tapi sarat dengan ulat di dalamnya!