SEMUA yang ada di rumah Siti Balqis Mohd Nor, gadis yang ditimpa pelbagai kejadian aneh termasuk hilang di waktu senja dan tengah malam, hampir terdiam malam semalam apabila melihat objek berupa besi berukuran 12 sentimeter dan kain putih, terbang masuk ke rumahnya.
Sebelum itu, sejurus seorang pengamal perubatan tradisional pulang, keluarga Siti Balqis turut mendengar seperti benda terjatuh dari bumbung rumahnya. Namun selepas diperiksa tiada kesan apa-apa.
Kejadian aneh yang berlaku malam semalam adalah tambahan kepada kejadian aneh sebelum ini. Sebelum ini Siti dikatakan boleh menghilangkan diri walaupun rumahnya dikawal penduduk. Dia kemudian dikatakan tersedar berada di atas tanah perkuburan.
Sebelum ini juga Siti sering hilang dan pernah dilaporkan ditemui berada di atas pokok manakala dalam kejadian lain dia berada di dalam mesin pembancuh simen.
Pelbagai usaha dilakukan keluarganya untuk mengatasi masalah itu, namun sehingga kini belum berjaya. Malah kejadian malam semalam seolah-olah mencabar usaha keluarganya meminta bantuan daripada bomoh atau pengamal perubatan tradisional.