DALAM tempoh sebulan empat kes bayi kematian kerana tercekik susu dilaporkan. Sebelum ini tiga kes dilaporkan berlaku termasuk dua ketika bayi di dalam jagaan pusat asuhan di Putrajaya dan satu lagi pada Ahad lalu ketika seorang bayi dalam pangkuan ayahnya ketika dalam perjalanan menaiki keretapi dari Manik Urai ke ibu negara.
Kes terbaru dilaporkan berlaku semalam, membabitkan bayi berumur lima bulan mati ketika di dalam jagaan ayahnya di rumah mereka di Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Hadif Hameedullah Mohd Najib dikatakan diberi susu oleh ayahnya. Kemudian ayahnya memberi pula minuman air biasa menggunakan botol yang sama. Namun bayi itu dikatakan tidak sedarkan diri sebaik sahaja ayahnya yang terlelap, terbangun dari tidur.
Ketika kejadian, ayah bayi itu dikatakan mengambil alih tugas menjaga anaknya itu kerana dia sedang bercuti. Menyedari apa yang berlaku, ayahnya panikdan segera mencabut botol air yang masih ada di mulut anaknya. Ketika itu tubuh Hadif telah kebiruan manakala air keluar dari mulutnya.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata, ayah bayi itu menghubungi isterinya yang bertugas sebagai guru sebelum bergegas menghantar anaknya ke Hospital Angkatan Tentera Tunaku Mizan.
"Doktor berusaha memberi bantuan pernafasan untuk menyelamatkannya, namun gagal apabila mangsa disahkan meninggal dunia," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. Menurut Zakaria, mayat dituntut ayahnya selepas bedah siasat untuk dikebumikan.