TAK habis-habis diganggu. Demikian nasib malang menimpa keluarga Siti Balqis Mohd Noor, 27, yang sebelum ini sering dighaibkan makhkluk halus.
Selepas dia kelihatan pulih selepas menjalani rawatan diberikan pengamal perubatan Islam Yayasan Islam Terengganu (YIT) sejak tiga hari lalu, ibunya pula diganggu, dipercayai jin yang masih bebas.
Semalam, seberkas kunci yang disimpan di dalam beg oleh ibunya, Norizan Said, 47, hilang. Namun tidak lama kemudian kunci itu ditemui di atas meja, tetapi dibungkus dengan kain merah. Ini menyebabkan Norizan berasa tidak selesa kerana percaya gangguan itu dilakukan oleh jin yang sebelum ini sering mengghaibkan anaknya.
Kemudian satu lagi kejadian aneh menimpa keluarga itu apabila seketul besi jatuh dan menimpa di belakang Siti Balqis.
YIT bagaimanapun menasihatkan keluarga itu tidak lagi menerima kunjungan bomoh yang datang untuk merawat gangguan dihadapi keluarga berkenaan bagi mengelak ia dicampuri oleh elemen-elemen kurang elok.
Berikutan itu sejak dua hari lalu, orang ramai hanya berada jauh dari rumah berkenaan kerana keluarga Siti Balgis mengambil keputusan untuk tidak membenarkan sesiapa berkunjung. Ini dipercayai sebagai mematuhi nasihat pegawai YIT.
Beberapa anggota polis juga dilihat mengawasi sekitar kawasan rumah itu untuk memberi sokongan dan memantau supaya keluarga Siti Balqis tidak terganggu dengan kehadiran terlalu ramai pengunjung untuk melihat sendiri gangguan yang dikatakan sering menimpa keluarga berkenaan.