BAIE kalau dah baca pandangan saya, emel sahaja. Bukan apa, selain privasi ia memberi ruang banyak untuk Baie tulis apa yang belum jelas.
Tentang begitukah...Ya! Benar dan betul. Tak perlu dihairankan dan pelik kerana menulis berita bertujuan memberitahu. Mesti ringkas tetapi jelas. Ada apanya, ada bilanya, ada siapanya, ada bagaimananya dan ada di mananya!
Kalau semua itu ada, 80 peratus orang tak akan bertanya lagi kecuali selebihnya untuk bertambah faham dan mendalam.
Berita mesti ringkas dan jelas. Satu lagi sebaiknya padat. Dalam dunia terlalu banyak yang Baie boleh tulis. Saya bagi contoh. Setiap saat ada sahaja benda dan peristiwa berlaku di sekeliling kita. Itu kalau kita berdiri tegak. Contohnya, masa kita berdiri, ada orang sedang membuka pintu. Pada masa yang sama ada telefon berbunyi. Ada bunyi kereta membrek di jalan. Kadang-kadang ada bunyi anjing, bunyi kucing. Kalau nasib baik pada saat yang sama kita terpandang di tepi tingkap rumah jiran, seorang suami tengah bertekak dengan isterinya. Itu contoh benda berlaku dalam satu saat. Belum kira satu minit. Dalam satu minit ada 60 saat. Itu belum kira dalam satu jam. Dalam satu jam ada 60 minit. Maknanya, kalau dalam satu saat ada sesuatu benda atau peristiwa yang boleh kita jadikan berita, dalam satu minit kita ada 60 peritiwa untuk ditulis. Itu baru dikira satu minit. Kalau dikira satu jam yang ada 60 minit, kita akan ada 3,600 peristiwa yang pelbagai jenis. Peristiwa kecil dan besar yang ada nilai berita. Tak perlu kita ambil kesemuanya. Ambillah dua sahaja peristiwa dalam satu jam. Kalau kita bekerja 5 jam, kita sudah ada 10 peristiwa penuh dengan nilai berita untuk dituliskan!
Fasal lecturer tak pernah beritahu hal itu, jawapannya ialah, di dalam bilik kuliah lain. Di luar bilik kuliah lain. Di dalam bilik kuliah Baie diberi pancing sahaja. Di luar bilik kuliah Baie kena cari umpan dan tempat sesuai untuk memancing! Ikan yang digambarkan menerusi teori tidak sama warna, berat dan jenisnya dengan ikan yang diajar di dalam bilik kuliah. Nanti bila dah konvo, masuk dunia kerja, Baie akan reti dan faham perlahan-lahan.
Setakat ini pak cik nak beritahu. Jurnalisme itu dunia orang kertas. Jangan biar kertas sentiasa kosong!