DALAM ISLAM syaitan itu wujud.
Sama ada benar dakwaan ada anggota polis diusik atau diajak 'bergurau senda' ketika bertugas menjaga kawasan tragedi Ladang Gadong, lokasi Datuk Sosilawati dan tiga yang lain dipercayai dibunuh itu persoalan lain. Hakikatnya syaitan memang wujud tetapi dalam masyarakat kita syaitan mendapat terlalu banyak gelaran seperti hantu!
Dan ketika ditanya wartawan tentang dakwaan anggota polis bertugas di kawasan itu diganggu 'hantu', Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar segera menyanggahnya.
Menurut Khalid, 'mana ada hantu' dan menganggap cerita-cerita mengenainya hanya untuk mensensasikan cerita sahaja. Ada benarnya kata-kata beliau tentang perkara itu, tetapi tidak sepenuhnya betul kerana hantu itu adalah syaitan, dan syaitan itu memang ada.
"Mana ada hantu, saya pergi siang malam tak ada apa pun. Semua itu hanyalah untuk mensensasikan cerita sahaja, " jawap Khalid mengulas mengenai hantu yang mengusik anggotanya.
Kemungkinan 'hantu' itu tiada di situ mungkin juga kerana takutkan Khalid kerana dia seorang pegawai polis kanan. 'Hantu' di situ mungkin bimbang segalanya terbongkar dan sebab itu apabila Khalid berada di sana siang dan malam, semua 'hantu' tak berani mengusik atau bergurau senda dengannya.