KESEDIHAN tak terungkap. Baris-baris sayu di wajahnya bak mendung memberat. Sesekali tak terempang air mata, mengalir juga menuruni di antara lurah pipinya, kemudian perlahan-lahan menakung di bucu bibirnya. Hati yang menanggung pilu tak siapa mampu mengongsinya.
Demikian dukacita yang dipendamnya dalam tabah hati yang amat walang, sewaktu menuntut jenazah tiga anak dan seorang cucunya yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Penarik, Bandar Permaisuri jam 1.30 tengah hari tadi.
Zabedah Teh, 49, menerima takdir dengan kekuatan seorang perempuan. Namun sejauh manalah kekuatan hati seorang wanita, apatah lagi dalam tempoh 10 bulan - kehilangan suami tercinta, kemudian dituruti pemergian tiga anak dan cucu serentak.
Zabedah yang tinggal Kampung Bukit Cina, Pasir Akar, Setiu memberitahu kesemua anaknya itu dalam perjalanan pulang selepas membeli ikan di pusat jualan ikan di Pantai Penarik.
Sabarlah kak! Yang pergi kita iringi dengan doa seharum kasturi moga roh mereka di tempatkanNya di sisi golongan yang beriman dan dipermudahkan Allah bagi yang masih tinggal di dunia ini.