KISAH ini diceritakan seorang guru wanita kanan yang mempunyai pengalaman mengajar berpuluh tahun. Tempatnya di sebuah sekolah rendah di Port Dickson. Hari kejadian Isnin.
Berkongsi cerita dengan suaminya sekali, kami mahu sahaja menitiskan air mata. Sedih, marah, geram dan risau berbaur dalam satu perasaan yang sukar kami ungkapkan. Mulanya begini. Selepas tamat waktu persekolahan cikgu wanita ini sempat berbual dengan seorang pelajar darjah enam sekolahnya. Walaupun bukan anak murid dalam kelasnya, dia memang suka berbual dengan kanak-kanak.
Angin kering dari laut pantai memang kuat kalau siang hari. Entah macam mana, terselaklah sikit tudung muridnya itu di pangkal leher. Lalu terpandanglah cikgu itu pada tanda merah. Tanpa bertanya, dia terus menyelak tudung murid itu. Maka terpandanglah cikgu itu pada beberapa tanda lain yang serupa, hampir mengelilingi leher kanak-kanak itu.
"Apa ni?"
Berubah muka anak muridnya yang baru sahaja berusia 12 tahun itu. Nampak ada garis risau bersimpang perenang pada wajahnya. Dan cikgu yang berpengalaman itu terus mendesak.
"Siapa buat?" selamba ditariknya budak itu ke belakang bangunan sekolah supaya tidak ada orang lain yang tahu.
"Siapa buat?" cikgu itu mengulangi tanyanya.
"Kawan.."
Sangka cikgu itu, kawan yang dimaksudkan adalah kawan sekelas di sekolah yang sama, tapi ternyata tekaannya meleset selepas dia mendesak lagi.
"Bukan kawan sekolah cikgu!
"Habis...kawan mana? Berapa umur dia?"
"Abang angkat cikgu! Abang klinik!"
"Kamu biar betul!"
"Betul cikgu. Minta maaf cikgu" budak itu terus menangis. Cikgu itu tahu, budak darjah enam itu menangis bukan kesal, tetapi takut apabila rahsianya terbongkar. Lalu dipujuknya budak itu. Habis semua cerita ditanyakannya. Cerita tentang yang berat-berat pun cikgu itu tanyakan. Cikgu itu mahu tahu semuanya, sebab itu tanggungajawab dia.
Lega sikit rupanya cikgu itu apabila murid darjah enam itu mengaku sungguh-sungguh, abang angkatnya hanya berbuat yang ringan-ringan, walaupun telah lebih setahun mereka berhubungan tanpa diketahui ibu bapa.
Diceritakan lagi cikgu itu tentang apa jawapan murid itu apabila dia bertanyakan soalan yang berat-berat. Nak tahu? Begini lebih kurang: "Kita orang ringan-ringan aje cikgu. Abang ada jugak ajak yang berat, saya tak pernah bagi. Abang banyak kali pujuk kata dia banyak ubat kat klinik!"
Saya sangkakan habis setakat di situ. Selepas lama berhenti bercerita, ada lagi cerita yang terus merisaukan kami apabila mengenang nasib anak-anak Melayu yang masih muda.
Cerita cikgu itu lagi begini. Apabila dia bertanya, adakah dia keluar sendiri bila mahu berjumpa abang angkatnya? Jawap budak itu tidak. Dia ajak seorang lagi kawannya, juga satu sekolah. Pangkal namanya Nor.
"Kami cakap mak nak pergi rumah kawan dekat taman, nak belajar sama-sama. Tapi saya keluar dengan abang. Nor pun keluar dengan abang dia! Abang belajar kolej!"
Bila ditanya lagi, adakah Nor buat benda yang sama. Budak itu mengangguk tapi beri jaminan memang kawannya itu pun tak pernah lakukan yang berat-berat sebab mereka sering berdekatan kadang-kadang tepi laut. Dia nampak apa yang kawannya itu buat dan kawannya itu nampak apa yang dia buat!!!!!!
Bila saya tanya, tahukah kedua-dua budak itu anak siapa? Cikgu itu menarik nafas panjang sambil menjeling suaminya.
"Mereka anak orang kaya. Mak bapak rumah besar-besar. Orang berniaga!"