nuffnang ads

Saturday, October 30, 2010

CERITA DULU-DULU: SUSAH SANGAT NAK AMBIL GAMBAR, JURUGAMBAR SIMPAN KAMERA DALAM MANGKUK TINGKAT

KISAH pihak berkuasa hospital liat sangat  membenarkan jurugambar akhbar merakam gambar dalam hospital bukan cerita pelik, tapi dalam pelik itu kadang-kala timbul rasa menyampah dan meluat di kalangan jurugambar. Apatah lagi kalau tugasan mengambil gambar itu melibatkan pesakit dari kalangan VIP atau pesakit yang menjadi buruan media. Dalam makna lain, tugasan yang penting!

Diceritakan satu masa dulu, seorang jurugambar media letih dan loya meminta kebenaran untuk mengambil gambar seorang mangsa kebakaran yang melecur akibat dibakar oleh bapa sendiri. Minta kebenaran tak boleh, minta kebenaran tak boleh. Sedangkan pesakit sendiri tak banyak kerenah, tak kisah gambarnya dirakamkan.

Kedatangan jurugambar ini pula sentiasa diperhatikan oleh kakitangan hospital kerana dia kerap sangat datang meminta kebenaran. Malah pegawai atasannya juga selalu mengingatkan agar jangan beri kebenaran jurugambar mengambil gambar.

Maka timbul idea untuk menipu dalam kepala jurugambar itu! Satu hari dia buat kerja lawak. Dia simpan kameranya dalam mangkuk tingkat! Bila tiba di pintu masuk, kakitangan yang mengenalinya pun bertanya. "Hai...hari ini encik tak bekerja?"

Kakitangan itu bertanya kerana melihat jurugambar itu tidak membawa kamera sebaliknya hanya menjinjit mangkuk tingkat. Dijawap jurugambar itu: "Nak kerja macam mana, gambar tak boleh ambil. Hari ini nak hantar makan kat anak buah kat atas" Dia menjawap separuh menyindir.

Kakitangan hospital itu punyalah senyum, sampai ke telinga. Dalam hatinya mungkin berkata begini: "Padan muka engkau tak boleh ambik gambar!"

Jurugambar itu buat muka selamba macam kelawar kena jaring. Dia terus naik ke tingkat lapan. Dan menunggu masa sesuai, iaitu apabila tiada jururawat dan doktor, dia pun membuka mangkuk tingkat dibawanya. Nah engkau...sebeban gambar dirakamnya. Habis semua aksi pesakit dan keluarganya dapat dirakam. Yang menonggeng, mengiring, menenggek...semua ada aksinya.

Tak sampai 10 minit dia pun bersalaman dengan pesakit dan ahli keluarganya. Jurugambar itu turun dan ketika melintasi kakitangan hospital yang mengenalinya, jurugambar itu perasan kakitangan berkenaan masih tersenyum-senyum menyindir. Dia buat tak tahu.

Tapi esoknya, jurugambar itu lepas geram dan dendamnya habis-habis. Dia duduk di tempat menunggu pesakit, betul-betul di depan kakitangan yang menjaga pintu masuk. Dibukanya akhbar luas-luas yang jelas terpampang gambar pesakit di muka depan.

Mencanak kakitangan hospital itu dengan muka masam dan muncung bak todak, bertanya. "Bila masa encik ambil gambar ni?" katanya macam mahu mengoyakkan sahaja surat khabar yang dibaca jurugambar itu.

Nak tahu apa jawapan jurugambar berkenaan? Begini: "Entahlah...saya tak kerja semalam. Awak tengokkan saya tak bawa kamera pun semalam. Ini mesti ada orang halus punya kerja ni!" Perlahan-lahan dia angkat kaki. Sempurnalah kerjanya untuk melepas geram pada hari itu. Susah sangat! Nak kena tipu baru boleh!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10