Dr Farah berusaha sebaik mungkin menyuntik lengan pesakit itu. Saya tidak pasti dia mahu memasukkan ubat atau pun untuk mengambil sampel darah. Tapi yang nyata, jarum suntikan sukar untuk menembus kulit pesakit.
Mungkin disebabkan sakit, pesakit pun mengomel. "Aku terajang juga doktor ni karang. Sakitlah!"
Saya tidak pasti apa yang akan dicakap oleh doktor lain kalau mereka berdepan situasi begini. Tapi yang pasti Dr Farah bertindak bijak. Bukan sekali dua diherdik dan dimarahi oleh pesakit yang sama. Dan bukan dia sahaja doktor yang berdepan situasi serupa.
Semalam Dr Farah bertindak cerdik. Kedengaran dari mulutnya menjawab lebih kurang begini: "Ala pak cik. Kalau pak cik terajang saya pun, apalah yang pak cik dapat. Pak cik gembira ke?"
Apa kesudahannya. Pesakit macam terkedu. Dan bagi saya memang patut dan wajar Dr Farah menjawab begitu. Jawapannya sarat dengan makna dan konotasi yang berbaur psikologi.
Demikian cerita seorang doktor muda perempuan yang bertugas di wad 4 Hospital Sungai Buloh. Dia amat merendah diri, sering melemparkan senyum walaupun kadang-kala dia disendiri dilontar tohmah dan kemarahan pesakit tanpa sebab. Saya tak pernah lagi melihat ada garis atau riak bosan di wajahnya!
Bagi saya, contohilah keperibadian yang ada pada Dr Farah ini. Dia adalah ikon yang lahir daripada contoh pegawai atasannya, Dr Cheng, seorang pakar yang saya dengar tidak pernah meninggikan suara apabila berdepan pesakit.
Pengarah HSB dan kepada Datuk Liow Tiong Lai, barangkali harus berbangga mempunyai pegawai perubatan seperti Dr Cheng dan Dr Farah ini. Sama seperti berbangganya HUSM memiliki seorang pakar sakit kronik bernama Dr Nizar.
Dr Cheng juga murah senyuman. Senyuman yang dia ada, sebahagian daripada terapi yang dapat mengubati sedikit sebanyak kesakitan yang sedang dihidapi oleh pesakit di dalam wad yang di bawah kendaliannya.
Berbalik pada pesakit yang memarahi Dr Farah. Saya sempat bertanya, kenapa dia marah-marah sedangkan doktor muda itu amat lembut dan cermat menjalankan tugasnya. Pesakit itu hanya menjawab: "Entahlah...aku rasa sakit sangat bila kena cucuk dengan jarum!"
Apa maknanya di sebalik jawapan pesakit itu? Bagi saya, dia tetap menghormati doktor yang merawatnya, apatah lagi dia bekas seorang profesional. Mungkin yang terlepas dari mulutnya, bukan datang dari dalam hatinya. Saya pun kenal dia.
Kepada Dr Farah dan Dr Cheng, anda memang patut berada di sebuah hospital yang bertaraf kelas pertama ini. Saya dengar pesakit itu sebenarnya amat menghargai anda berdua!