1.
MAHKAMAH sedang membicarakan kes liwat seorang bekas Timbalan Perdana Menteri.
2.
Malaysia sebagai sebuah negara yang Islam adalah agama rasminya, menolak perilaku dan perlakuan rakyatnya yang mengamalkan homoseks. Malah homoseks juga ditentang oleh undang-undang. Tanyakanlah kepada mana-mana pemimpin negara sekarang, tidak akan ada pemimpin yang berkata homoseks boleh dibenarkan di negara ini. Ini kerana selain dianggap bertentangan dengan nilai dan norma budaya Timur, homoseks juga adalah perbuatan jijik dan kotor yang dilarang oleh Islam.
Rakyat sering diingatkan, terutama dalam selingan kempen membanteras HIV dan Aids supaya menjauhi perbuatan yang ada kaitan dengan homoseks. Maknanya, kerajaan sedar dan tahu bahawa homoseks itu sesuatu yang bukan sahaja jijik tetapi boleh mendatangkan kesan paling buruk dalam kesihatan rakyatnya.
Bukan sesuatu yang tidak diketahui rakyat, bahawa kerajaan juga sentiasa melarang dan tidak mengingini budaya buruk dan negatif seperti homoseks menular ke dalam kehidupan masyarakat. Kerajaan menerusi kata-kata pemimpinnya sering sahaja mengingatkan hal-hal yang buruk ini dapat dielak dan dicegah. Kerajaan juga amat prihatin untuk melihat budaya timur yang murni terus kekal dalam gaya hidup rakyatnya yang berbilang kaum. Kerajaan sedar dan reti bahawa setiap gejala buruk yang meresap dan meracuni rakyatnya hanya akan menyebabkan beberapa dasar dan impian tidak mungkin tercapai. Antara dasar dan impian kerajaan yang terlalu ingin sangat dicapai ialah melihat tahap kesihatan dan kehidupan rakyatnya berada dalam keadaan yang baik. Ini bagi kerajaan adalah amat penting kerana kesihatan fizikal dan mental rakyatnya yang baik merupakan asas utama dalam pembentukan satu masyarakat Malaysia yang menjadi impian Perdana Menteri sekarang.
3.
Hari ini konsert Adam Lamberts dibenarkan. Namun kami keliru dan celaru. Adam Lamberts telah jelas mengakui dirinya mengamalkan homoseks. Memanglah dia boleh berjanji tidak akan bercium dengan lelaki atau berasmara dengan lelaki di atas pentas, tetapi nilai homoseks yang dibawa dalam dirinya tetap hidup dan membiak dalam jiwa segelintir generasi muda pada hari ini. Segelintir generasi dan rakyat kita hari ini akan bertopengkan hedonisme untuk mengiktiraf dan memujai nilai-nilai homoseks. Proses menghidup dan membiakkan homoseks ini berlaku amat halus, seperti jarum yang disuntik sehalus rambut, tidak terasa sakitnya. Tetapi kesan daripada suntikan itu akan meletus pada masa-masa yang tidak kita jangka. Dan ketika itu, kita tidak boleh lagi menyesal dengan kesilapan yang telah kita lakukan pada hari ini. Kegagalan kita ialah tidak melihat kesan yang tersirat, berbanding hanya memandang pada apa yang tersurat. Kita gagal kerana melihat sesuatu hanya pada bentuk jasad tetapi bukan pada rupa roh.
Maka dengan ini, saya mengikrarkan bahawa jika satu masa nanti, generasi muda keturunan saya rosak dan musnah kerana gejala yang kita biarkan masuk tanpa sekatan pada hari ini, maka kesalahannya akan saya letakkan pada kerajaan dan pemimpin hari ini. Saya tidak akan mengampunkan dosa di atas kesilapan ini kerana terlalu banyak pihak telah menegur, tetapi kita membuat keputusan yang amat mual dan memalukan.