Polis hari ini menahan seorang lagi suspek yang ada kaitan dengan peguam/pembunuh, dipercayai dapat membantu kes kehilangan seorang ahli perniagaan dari India. Lelaki itu ditahan di Kuala Lumpur petang tadi, dipercayai pernah meminta sejumlah wang daripada isteri ahli perniagaan yang hilang, dipercayai dibunuh oleh peguam berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, mengesahkan polis telah menemui sebatang kayu kriket yang digunakan dalam pembunuhan Datuk Sosilawati, Ahmad Kamil, Kamarudin dan Noorhisham bersama sebilah pisau.
Menurutnya, kayu kriket itu ditemui di ladang Gadong, manakala pisau berkenaan dijumpai pasukan pencari di dalam sungai berdekatan. Berikutan itu, katanya polis kini menghentikan sementara gerakan mencari bukti di sungai berdekatan.
Mohd Bakri bekrata, hasil penyiasatan yang siap dijangka diserahkan kepada pejabat peguam negara minggu depan untuk dinilai bagi proses pendakwaan mereka yang terbabit.
"Kita yakin dapat menyelesaikan kes ini, termasuk mendapat pengakuan empat pekerja peguam berkenaan yang mengaku telah memukul, mengikat dan membunuh kesemua mangsa. Semua mereka mengaku melakukan perbuatan itu kerana taksub dan patuh kepada arahan peguam berkenaan," katanya.
Difahamkan, peguam terbabit telah menyerahkan RM26,000 bagi membeli segala keperluan, termasuk zink dan minyak petrol bagi kegunaan membunuh keempat-empat mangsa kepada pekerjanya. Tugas membunuh dilakukan oleh seorang remaja berusia 19 tahun sebelum dibantu empat yang lain. Mayat semua mangsa siap dibakar sekitar jam 4 pagi.
Pada jam 9.50 malam, suspek menggunakan telefon bimbit mangsanya untuk menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada salah seorang waris mereka bertujuan mengelirukan kononnya ia pesanan daripada mangsa. Dalam SMS itu suspek menulis kononnya mangsa hanya akan pulang selepas 3 hari, sedangkan ketika itu kesemua mangsa sebenarnya telah dibunuh.
Jenayah pembunuhan yang dirancang ini adalah antara jenayah paling kejam di negara kita. Walaupun kita tidak mahu mengkelaskan jenayah ini mengikut kaum, tetapi faktanya ialah penjenayah keturunan India telah membunuh empat mangsa keturunan Melayu.
Dalam kes sebelum ini, penjenayah ini juga dipercayai terbabit membunuh mangsa keturunan India, Cina dan Melayu tetapi kes berkenaan belum diperincikan lagi.