SARINA JAAFAR, 45, pengasas kosmetik Aveer dipercayai mengalami masalah tekanan akibat kemelut peribadi keluarga dan tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan Datuk Sosilawati, kata anak saudaranya, Naimah Said.
Naimah, 32, mendakwa ada menerima panggilan telefon daripada Sarina sebelum terputus tidak lama sebelum beliau ditemui tergantung dalam biliknya.
Malah menurut Naimah, allahyarham memang ada bercerita dengannya masalah keluarga yang dihadapinya serta meminta jasa baik dia (Naimah) untuk menjaga anak-anak allahyarham serta membantu menguruskan perkahwinan anak sulungnya pada Januari depan.
Sarina yang terbabit dalam perniagaan kosmetik lebih lima tahun lalu, juga katanya ada memberitahu mahu mengunjungi rumah keluarga Sosilawati bersama-sama beberapa rakan yang lain untuk membaca yassin, selepas mengetahui berita kematian Sosilawati menerusi media.
Polis masih mengklasifikasi kematian Sarina sebagai mati mengejut dan tidak mengesyaki adanya unsur jenayah dalam kematian itu.