Malah Bambang turut memberi amaran kepada semua rakyat negara itu supaya tidak menyertai gerakan 'sweeping' itu dengan memberitahu bahawa Indonesia adalah negara berdaulat dan mempunyai undang-undang.
"Semua masalah biar diselesaikan oleh kerajaan dan pemerintah kedua-dua negara. Jangan buat tindakan yang boleh memalukan negara. Jangan fikir 'sweeping' kita sahaja, tapi fikirkan nasib sebegitu ramai rakyat Indonesia yang sedang mencari nafkah di Malaysia.
Kalau kita boleh mengusir rakyat Malaysia, mereka juga boleh mengusir rakyat kita yang sedang mencari nafkah. Jangan terpengaruh dengan perbuatan dan provokasi ini" tegasnya.
Malah di sekitar Senayan City ratusan anggota polis dari unit pencegahan rusuhan dan polis dari Jakarta Pusat serta Tanah Abang dikerah berjaga-jaga di kawasan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Polis Indonesia memasang pagar di sekeliling bangunan Senayan City bagi mengelak kejadian tidak diingini ekoran protes Bendera yang semakin panas mahu mengusir rakyat Malaysia di situ. |
Sementara itu, kumpulan penyokong Bendera dikatakan bertindak di luar batas apabila menyerbu dan membuat kecoh di depan pejabat bank CIMB Niaga dan pejabat Petronas Pusat di Jalan Jeneral Sudirman. Mereka melaungkan amaran kepada kakitangan pejabat berkenaan agar memindahkan perniagaan milik Malaysia itu keluar dari Indonesia dalam tempoh 48 jam.