nuffnang ads

Friday, September 24, 2010

BILA MAHATHIR MELATAH DAN MELALUT

DR Mahathir yang semakin lemas dalam hiruk-pikuk kebencian orang Melayu, nampaknya mula melatah dan melalut. Konon katanya orang Melayu akan hilang kuasa kalau PR dipilih menerajui negara ini, sekaligus beliau meggunakan pelbagai cara berkempen mempertahankan supaya rakyat terutama orang Melayu khususnya terus memilih Umno sebagai tugu yang tidak boleh dialih kedudukannya.

Nampak sangat cakap Dr Mahathir tidak ubah seperti nasihat seorang ibu atau bapa sekitar tahun 50-an dan 60-an yang menakutkan anak mereka kononnya banyak hantu berkeliaran di luar rumah ketika senja. Jadi kerana terlalu takutkan hantu yang dimomokkan itu, anak-anak pun lintang pukang masuk ke rumah masing-masing. Pada hal tujuan sebenar ibu bapa adalah untuk memastikan anak-anak sentiasa berada di rumah, terutama ketika waktu selepas senja. Dan jika orang Melayu hari ini terpedaya dengan taktik murahan Dr Mahathir ini, maka akan bergembiralah bekas Perdana Menteri itu kerana telah berjaya memperbodohkan orang Melayu sekali lagi.

Apa yang Dr Mahathir melalut dan bercakap mengenai kebimbangan konon orang Melayu akan kehilangan kuasa, adalah umpama seseorang yang menyisir rambut tanpa cermin. Dr Mahathir masih duduk pada pemikiran lama iaitu menyangka selama ini orang Melayu di negara ini memang kaya dengan kuasa politik. Dan dengan kekayaan kuasa itu, orang Melayu fikirnya sejak dulu telah selamat menghuni negara tanah tumpah air mereka ini. Dia sangka selama ini, selama Umno memerintah, orang Melayu hidupnya sentiasa kebanjiran dengan kuasa. Sentiasa melimpah ruah dengan keistimewaan. Sebenarnya pandangan Dr Mahathir ini tidak sepenuhnya betul! Beliau masih bermimpi. Sepanjang Umno memerintah yang berkuasa hanya pemimpin, kroni dan saudagar-saudagar mereka sahaja, Orang Melayu bawahan hanyalah pemegang saham kemiskinan yang terbesar. Orang Melayu adalah pengarah-pengarah syarikat kemelaratan.

Sebenarnya yang berkuasa sepanjang Umno memerintah adalah golongan yang disebutkan tadi, iaitu pemimpin tertentu, kroni, saudara-mara dan kawan-kawan saudagar-saudagar yang seringkali bertindak merangkap sebagai broker politik!

Merekalah sebenarnya yang merasai nikmat kemewahan hasil kuasa yang dimiliki Umno seperti yang dilalutkan oeh Dr Mahathir. Orang Melayu yang lain hanyalah pengemis di tepi jalan. Selepas memberi undi kepada Umno, mereka terus dibiarkan dalam kemiskinan dan kemelaratan. Orang Melayu majoritinya tidak mendapat apa-apa. Orang Melayu masih miskin selepas negara merdeka 53 tahun. Apa guna kalau betul pun Melayu ada kuasa kalau kuasa itu tidak dapat melonjakkan nasib orang Melayu? Apa guna kalau kononnya ada kuasa jika orang Melayu seperti pengemis di negara sendiri?

Menakutkan orang Melayu kononnya jika PR berkuasa, Cina dan India menjadi Perdana Menteri, adalah satu spekulasi jahat yang amat rasis bunyinya dari mulut seorang bekas perdana menteri. Dr Mahathir sebenarnya bukan mahu membela orang Melayu dengan berkata begitu, tetapi hanya mahu menyelamatkan Umno yang semakin ditolak oleh rakyat terbanyak. Saya sebagai orang Melayu bersedia menerima bangsa asing sebagai Perdana Menteri jika itu lebih baik berbanding orang Melayu sendiri menjadi Perdana Menteri. Bagi saya apalah gunanya orang Melayu jadi Perdana Menteri jika dalam tempoh 53 tahun tidak mampu menolong bangsanya sendiri.

Dulu Umno kata PR akan berkubur seperti mana nasib beberapa parti serpihan Umno sebelum ini. Namun kini nada sinis itu telah berubah menjadi paranoid dalam diri Dr Mahathir. Beliau mula mengakui dan melihat PR terutama Parti Keadilan Rakyat mula diterima pengundi dan semakin kukuh menjadi ancaman yang amat besar kepada Umno. Itu sebabnya Dr Mahathir mula menggunakan taktik menakut-nakutkan orang Melayu. Pada hemah saya, orang Melayu tidaklah sebodoh yang beliau sangka. Orang Melayu tidak akan mudah  merujuk semula sokongan mereka kepada Umno dengan ugutan-ugutan berbaur perkauman ini.

Dr Mahathir mesti mengakui dan menerima realiti bahawa majoriti orang Melayu telah sekian lama berdukacita dan memendam rasa akibat tindak-tanduk pemimpin Umno yang gagal membantu orang Melayu, khususnya untuk menguasai ekonomi di dalam negara ini. Selepas 53 tahun memerintah mereka tidak mampu menguasai perusahaan, perindustrian, peruncitan dan pelbagai sektor utama sekonomi negara.

Seperkara lagi yang Dr Mahathir lupa ialah orang Melayu bukan di dalam Umno sahaja. Umno dan Melayu juga kini telah tidak sinonim lagi. Jumlah orang Melayu di dalam parti PKR dan PAS sebenarnya telah melebihi jumlah orang Melayu di dalam Umno sendiri. Di mana rasionalnya jika dikatakan orang Melayu akan kehilangan kuasa jika PR memerintah. Ketika Umno semakin kecil jumlah orang Melayunya, dan pemimpinnya pula hanya berkisar di sekitar ahli keluarga pemimpin Umno dulu-dulu, PR mula merentasi sempadan apabila membuka peluang kepada lebih ramai orang Melayu yang layak menjadi pemimpin parti. Sikap Dr Mahathir yang menyindir konon PR adalah Anwar Ibrahim adalah tidak betul sama sekali, sebaliknya ia terkeluar daripada mulutnya akibat desakan rasa bimbang, marah, dengki dan dendam yang tidak putus-putus terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Akhirnya beliau cuba memerangkap rakyat terutama orang Melayu dengan kenyataan berbaur ugutan dan perkauman!

Dr Mahathir tidak perlulah bermain dengan isu perkauman. Najib sendiri mempertahankan konsep negara ini sebagai tanah air semua bangsa. Maknanya ketika orang Melayu tetap dipertahankan sebagai pemimpin utama, hak dan nasib bangsa lain tidak wajar diperlekehkan.

Dr Mahathir juga mengambil contoh konon pemimpin PR di negeri perintah pembangkang dikuasai DAP. Apakah Dr Mahathir tidak melihat sejak 53 tahun lalu, UMNO lagi dayus dicucuk hidungnya oleh Gerakan dan MCA serta MIC. Minta universiti untuk MCA, bagi. Minta bandar dimajukan ikut kaum bagi (contoh China Town dan Little India). Minta sekolah pelbagai aliran ikut bahasa ibunda patuh. Minta kementerian tertentu dikekalkan menterinya berdasarkan bangsa ikut (contohnya menteri pengangkutan untuk Cina, menteri kerja raya untuk India). Minta kawasan majoriti Melayu ditandingi wakil bukan Melayu ikut. Akhirnya, apa jadi wahai Dr Mahathir? Orang Melayu melopong.

Bila kementerian pengangkutan diberikan kepada menteri Cina, cuba renungkan apa berlaku? Bisnes pengangkutan, bas awam, treler besar, kapalterbang, kontena, kapal laut dan perniagaan berkait seperti forwarding dan freight serta perniagaan dari tepi laut hingga ke tengah laut dikuasai bangsa itu. Menteri Melayu walaupun dapat menjadi menteri kewangan, pertahanan, pendidikan dan dalam negeri tetapi portfolio kementerian yang ada kaitan dengan 'lubuk ekonomi' seperti pengangkutan, kesihatan dan kerja raya diberikan kepada bangsa lain.

Kini orang Melayu telah berani melakukan perubahan. Walaupun hakikatnya perubahan adalah sesuatu yang sukar dilakukan manusia kerana sifat manusia itu sendiri yang lebih selesa di zon kehidupan sama bagi tenmpoh yang lama, namun orang Melayu telah terpaksa melakukan perubahan. Mereka terpaksa menolak Umno kerana selama 53 tahun Umno telah gagal. Mereka terpaksa melakukannya kerana orang Melayu selama ini telah tidak tahan lagi diperdaya dan ditindas oleh pemimpin Melayu/Umno sendiri.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10