BARANGKALI kerana terlalu marah dengan sikap seorang anggota polis yang masih mahu menegakkan benang basah apabila ditegur mengenai perlakuannya berdua-duaan dengan isteri orang di dalam sebuah rumah, penduduk di sebuah kampung di Batu 3 1/2, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan menggunakan hukum rimba membelasahnya malam Ahad lalu.
Dalam kejadian 8.30 malam itu, seorang penduduk tak mahu dikenali berkata, beberapa penduduk telah pergi ke sebuah rumah selepas mendapati seorang lelaki yang juga anggota polis berdua-duaan dengan isteri orang. Penduduk dikatakan mahu menegur anggota polis itu mengenai sikap buruk yang memalukan itu.
Bagaimanapun, ketika pintu rumah diketuk, anggota polis itu yang hanya berkain pelikat memarahi pula penduduk yang menegur perlakuannya.
Anggota polis berusia 50 tahun itu dikatakan bersikap kasar apabila menjawab teguran menyebabkan berlaku pertikaman lidah dengan penduduk. Ia kemudian berlanjutan menjadi pergaduhan apabila penduduk dikatakan telah membelasah dia sehingga cedera.
Difahamkan, penduduk telah lama menyedari perbuatan mangsa sering berada di rumah wanita itu tetapi sejak kebelakangan ini semakin hilang sabar.
Ketika kejadian dikatakan tiga anak wanita berkenaan turut berada di rumah berkenaan.