MENJELANG pilihanraya yang dijangka berlangsung dalam tempoh 17 bukan dari sekarang, UMNO dipercayai berdepan kesulitan untuk memanipulasi akhbar-akhbar arus perdana ekoran berlakunya penurunan di segi jualan beberapa akhbar yang sebelum ini memainkan peranan penting mencetuskan perang dan kempen ke atas parti pembangkang.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ada beberapa akhbar arus perdana dikatakan menurun jumlah pengedarannya. Ini dipercayai ada kaitan dengan sentimen pembaca yang sebahagian besar beralih kepada berita portal online dan blog di dalam internet. Malah ada sebuah akhbar harian beberapa hari lalu dikatakan jatuh jualannya sehingga melebihi 20,000 naskah tanpa sebab! Sebahagian lagi sebab kenapa pembaca mulai menurun untuk menatap media arus perdana adalah kerana 'protes' akibat beberapa berita yang dikatakan keterlaluan dan mengelirukan pembaca. Berita yang mengusik sentimen bangsa dan agama dikenalpasti antara katalis yang menyebabkan pembaca menunjukkan sifat protes mereka. Pembaca kini juga dikatakan semakin rasional.
Sumber-sumber daripada pusat jualan akhbar terkemuka tidak menafikan penurunan jualan akhbar arus perdana ini pasti menjejaskan manipulasi sekian lama UMNO untuk berkempen bagi menarik semula sokongan rakyat menjelang pilihanraya.
Bagaimanapun, akhbar baru seperti Sinar Harian, dikatakan stabil jualan dan pengedarannya kerana hormat dan kepercayaan membaca semakin meningkat berdasarkan gaya dan bentuk pemberitaan yang dilaporkan menggambarkan tiada sikap berpihak. Akhbar arus perdana yang lain, jika terus kekal pada taktik lama dengan akur dan patuh pada berita berbaju kerajaan, pasti tidak lagi dapat diharapkan sepenuhnya membantu UMNO terutama bagi mengembalikan kekuatannya yang mulai terhakis. Ini pasti sesuatu yang merisaukan, apatah lagi mahu bergantung kepada media elekronik kerajaan seperti RTM yang hanya dilihat sekadar ada oleh rakyat di negara ini.
Tidak mustahil, jika trend penurunan ditunjukkan oleh akhbar arus perdana berterusan UMNO mungkin mengambil langkah drastik membuat perubahan di segi penstrukturan semula pentadiran akbhar-akhbar utama sedia ada. Ini mungkin terpaksa diambil kerana UMNO amat mengharapkan media cetak bakal menjadi barisan depan atau soldadu perang mereka bagi pengukuhan imej dan menarik semula sokongan rakyat.
Pertambahan bilangan blogger yang kelihatan cenderung 'menibai' kegagalan dan kelemahan UMNO juga dipercayai menjadi faktor penyumbang lain kenapa pembaca kian beralih dan akhbar arus perdana hanya dikatakan boleh meningkatkan pengedarannya dengan mengkaji semula bentuk berita dan kaedah penerbitan yang kini hanya dipandang secara sebelah mata oleh rakyat terbanyak. Apabila telah wujud satu persepsi buruk pada akhbar arus perdana, kerajaan khususnya UMNO juga akan tempang.