nuffnang ads

Sunday, August 22, 2010

TERIMA KASIH TAN SRI MUHAMMAD MUHD TAIB

SESEKALI rasanya mahu saya menyelami perasaan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Mahu rasanya saya mendengar jiwanya membisikkan sesuatu yang terpendam. Mahu rasanya saya bisikkan ke dalam atmanya yang rusuh itu dengan kata-kata bahawa biar pun tak dikenang, beliau tetap terbilang!

Demikian politik itu sebenarnya kotor dan keji Tan Sri. Dan saya faham, tanpa perlu Tan Sri bercakap apa-apa tentang dunia politik di dalam Umno yang telah Tan Sri lalui selama ini. Buat masa ini, eloklah Tan Sri bertenang, diam dalam lapang. Tentang Umno, lupakanlah sahaja, ketika banyak suara dari manusia yang pernah Tan Sri tunjukkan jalan sebelum ini, entah kerana apa tiba-tiba mulai bergema menerjah ruang menyalak menentang.

Sebahagian mereka adalah bayi yang dibesarkan dengan susu politik Tan Sri. Apabila membesar ada di antara mereka menjadi petualang. Menyalak seperti mahu menggigit kaki!

Membandingkan Tan Sri dengan pengganti seperti Abu Hassan Omar dan Khir Toyo adalah umpama membandingkan langit dan bumi. Tatkala Tan Sri telah berupaya menjadikan Selangor negeri maju dan cemerlang, Khir Toyo misalnya hanya duduk mengisi ruang, kemudian membuka dada konon bidang, sedangkan realitinya dia hanyalah penumpang.

Saat terakhir bersalaman bertemu Tan Sri di Klinik Shah Alam, saya dapat merasai getar dari hati Tan Sri mahu memperkatakan sesuatu. Tak apalah, saya berusaha untuk faham.

Menjamu nasi di rumah ibu angkat Tan Sri ketika musim pilihanraya di rumah Felda, menunggu Tan Sri mengundi seawal jam 7 pagi di Batang Kali, bersenda bagai anak dan ayah dan aneka macam kenangan lama di bangunan SUK dan merata ceruk di negeri ini dulu, adalah kenangan yang tetap saya simpan. Sekalipun hormat saya pada Umno telah luntur, hormat saya pada Tan Sri tak pernah terhakis.

Biar seribu buruk dikata orang, Tan Sri sebenarnya tidak akan melakukan sesuatu apa yang saya amat benci, iaitu menipu. Seperti dilakukan oleh seorang bekas menteri besar yang tak pernah cuba menimbang diri selama ini. Kini, politik Selangor telah memasuki fasa baru dan saya mengerti Tan Sri juga amat ambil peduli. Cuma terima kasih saya kerana Tan Sri memberi makna baru dalam politik Selangor!

Terima kasih Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Saya tetap merahsiakan kenapa saya menzahirkan ucapan ini ketika subuh hening. Terima kasih. Semoga dunia akan melihat suatu keajaiban berlaku lagi dalam lanskap politik kita.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10