MANILA: Seorang anggota polis berpangkat Kapten, terbunuh dalam pertempuran sengit dengan sepasukan SWAT di tengah bandaraya ini selepas lelaki itu, Rolando Mendoza, 55, menculik 25 pelancong Hong Kong di dalam sebuah bas sebagai tebusannya.
Selepas beberapa jam menahan pelancong berkenaan, 10 daripada mereka dibebaskan dan Rolando yang dikatakan antara anggota polis yang lasak membawa 15 penumpang asing itu memasuki kawasan bandaraya yang sesak sambil membuat tuntutan kepada kerajaannya.
Dia yang dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan pasukan polis memecatnya kerana terbabit dalam aktiviti peras ugut dan jenayah berkaitan sebelum itu, bertindak menggunakan rifel M-16 untuk menculik pelancong terbabit.
Kerajaan mengarahkan polis melakukan pelbagai usaha untuk membebaskan pelancong berkenaan, tetapi gagal kerana Rolando dikatakan mengugut untuk membunuh kesemua tebusan jika dia tidak diterima semula sebagai anggota polis.
Sepasukan SWAT bandaraya Manila yang merancang usaha menyelamatkan pelancong terpaksa menyerbu dan melepaskan tembakan yang dibalas oleh Rolando sebelum dia kecundang dan disahkan mati. Sekurang-kurangnya lapan pelancong asing dipercayai turut terbunuh dalam kejadian itu.