nuffnang ads

Wednesday, July 7, 2010

SAWAH BUKIT TEMBOK BERTUKAR HUTAN. INILAH HASIL YANG DIRANCANG KERAJAAN NEGERI

Ini nostalgia yang elok kita imbau tentang cita-cita sebuah kerajaan negeri kira-kira 25 tahun lalu. Sesiapa pun tak mungkin lupa tentang sebuah kawasan sawah padi melibatkan Kampung Sungai Raya dan Bukit Tembok, kira-kira 16 kilometer dari Teluk Kemang atau 10 kilometer dari Linggi. Bendang ini terletak di dalam daerah Port Dickson. Saya pasti anak muda yang belum mencecah usia 25 tahun tidak tahu apa-apa tentang kewujudan bendang terbesar di Negeri Sembilan ini satu ketika dulu.

Pelbagai peruntukan telah dicurahkan pada peringkat awal bagi memastikan kawasan penanaman padi itu terus kekal sebagai zon pengeluaran padi terbesar. Penanaman padi secara moden itu berlangsung lebih 15 tahun. Antara insfrastruktur yang dibina ialah longkang konkrit melibatkan kos berjuta-juta ringgit sepanjang lebih 20 kilometer dan pembaikan sungai serta kunci air. Peruntukan besar yang dilaburkan pada tanah bendang itu awalnya menggembirakan penduduk kerana mereka tidak menjangka ia sesuatu yang hanya bersifat sementara.

Namun keadaan berubah. Entah ilmu di sekolah mana yang digunapakai oleh pemerintah negeri ketika itu, projek berkenaan terus terbengkalai. Dengar khabar kerajaan negeri melihat kawasan itu tidak sesuai dan mesti digantikan dengan pertanian berkelompok membabitkan tanaman seperti jagung, kelapa sawit dan pisang. Pada fikiran saya yang tak pernah bersekolah ini, kenapa harus menghabiskan berjuta-juta ringgit kalau hanya mahu menjadikan kawasan itu sebagai kawasan pertanian berkelompok?

Kini apa yang sedang berlaku? Kawasan yang suatu waktu dulu pernah menguning padinya ketika masak telah bertukar menjadi hutan separuh dara. Sebahagiannya dicucuk kelapa sawit. Sebahagian lagi dicucuk lalang dan sebahagian lagi dirizabkan untuk menjadi sarang ular menetas!

Mengimbau nostalgia lampau, menitis air mata mengenangkan betapa zalimnya pentadbir mengubah corak pembangunan yang telah dirancang. Mereka mahu menukar tanah sawah itu menjadi kawasan pertanian berkelompok. Hasilnya apa? Apa yang kelompok kalau bukan kelompok pulau-pulau hutan yang menyakitkan mata.

Tidak cukup membazirkan tanah yang sepatutnya dikekalkan sebagai bendang, habis semua longkang konkrit pula ditutup dengan tanah dan batu. Kenapa? Alasannya mahu dibuat jalan. Pelik bukan? Tapi itulah realiti. Kini masalah baru pula menimpa. Banjir! Kenapa? Sebab longkang konkrit tidak lagi bertugas mengalirkan air, sebaliknya bertindak sebagai penghalang supaya menenggelamkan tanah penduduk setinggi yang boleh.

Ini adalah gambaran pembaziran hasil daripada pemikiran singkat, tamak dan tidak bertanggungjawab. Kini memburukkan keadaan pam atau kunci air yang menjadi pengempang antara tasik Bukit Kepong dan Sungai Raya yang dibina sejak awal merdeka turut dirobohkan! Rasionalnya? Kerajaan negeri mahu membenarkan pelabur menjadikan tasik itu sebagai satu industri yang orang kampung sendiri pun tidak tahu apa namanya?

Demikianlah secebis nostalgia sawah di Kampung Bukit Tembok dan Sungai Raya yang terletak di dalam daerah Port Dickson. Saya sengaja mengimbau nostalgia menghibakan ini kerana begitu mudah rupanya kita mengubah sesuatu walaupun sesuatu itu mesti dibina dari keringat dan wang rakyat. Mentang-mentanglah penduduk di situ orang yang tidak bersekolah.

DEBUS-DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Generasi kami tak akan membuang nostalgia itu kerana ia hidup bersama degup nafas pada hari ini!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10