nuffnang ads

Friday, July 30, 2010

RENUNGAN PAGI UNTUK ANAK-ANAK MUDA

KETIKA ITU awal 70-an. Susah sangat rasanya kehidupan. Kadang-kala dua hari makan nasi, hari-hari yang lain itu kami sekeluarga makan ubi. Kadang-kadang apabila pokok ubi habis, nak tunggu yang baru tanam besar dan berisi, kami cari pilihan lain. Panjat atau jolok kelapa gunakan galah buluh, ambil kelapa muda jadikan makanan ruji. 

Tentang belanja sekolah. Dalam seminggu adalah sekali dua berpeluang bawa belanja 5 (lima) sen. Ketika itu telah ada khidmat bas sekolah, tapi kerana tak mampu oleh desakan dan kemelaratan hidup kami adik-beradik ke sekolah berjalan kaki. Kasut getah hanya sepasang, kadang-kala sampai haus tapaknya. Tetap kami guna  sehinggalah dapat duit untuk beli yang baru. Kalau hujan, kami cantas pelepah pisang belakang rumah. Buat payung. Kami redahlah hujan berjalan lebih 3 kilometer ke sekolah. Pernah ketika hujan lebat, pakaian kami basah kuyup. Itu angkara bas sekolah yang dinaiki anak-anak mereka yang berada, terlanggar lopak tepi jalan. Kami tabah menempuhi keadaan itu dan terus kesekolah walaupun basah lencun. Walaupun diejek berada di kelas dalam keadaan menggigil kesejukan.

Kalau ada duit untuk beli beras, kami belilah ikut timbang sekati dua. Pergi ke kedai Cina biasanya beras dibungkus dalam kedai suratkhabar dan ditimbang menggunakan dacing kayu, bermata kail. Kalau ada duit pada hari ahad, ketika kedai Cina lain tutup, kami pergilah ke satu-satunya kedai yang dibuka milik lelaki Cina juga. Kami panggil dia Panjang kerana ketinggiannya yang luar biasa. Panjang bukanlah peniaga yang jujur. Dia bukanlah peniaga yang mempunyai hati dan perasaan seperti manusia. Sifatnya yang suka menipu, selalu membuat saya menitis air mata. Ketika usia saya lapan tahun, saya pernah ke kedai itu membeli beras, ditimbang menggunakan dacing kayu. Beli beras sekati atau 16 tahil, bila bawa balik orang tua cakap hanya 12 tahil. Maknanya timbangan Panjang tak betul. Banyak kali dia menipu. Pernah satu hari saya disuruh membeli setengah kati gula atau seberat lapan tahil. Apabila balik ke rumah teruk saya dimarah orang tua. Mana tidaknya, gula yang dibeli telah dicampur air. Panjang telah menipu berat gula dengan mencampur air ke dalam guni bekalan gulanya. Demikian harga orang Melayu yang susah zaman itu. Yang susah bukan dibantu, tetapi makin ditipu! 

Kesusahan yang kami kendong tak pernah mahu dikongsi orang atau saudara-mara. Ada pula di antara mereka pun susah juga seperti kami. Tetapi jiran-jiran atau orang politik tak pernah menjenguk. Parti berlambang KAPAL LAYAR dulu kadang-kadang saya lihat seperti perahu yang membawa bom dan hanya mahu memusnahkan kehidupan kami. Benar kata orang. Hina paku kerana karat. Hina Melayu kerana melarat!

Kemudian masuk pula zaman dapat beli radio di rumah. Zaman itu ketua kampung ada kuasa membekalkan baja yang diberikan kerajaan kepada orang kampung untuk bantu hasilkan produk pertanian. Ketua Kampung ketika itu orang Melayu. Ketua Kampung juga Ketua UMNO. Bila orang tua pergi minta bahagian baja yang sepatutnya, susah sangat mahu dapat. Alasan ketua kampung, baja tak sampai. Sampai ke sudah itu alasannya. Rupanya baja dah sampai tapi dia simpan di belakang rumah, tinggi menggunung! Bila tiba masa sesuai baja itu rupanya dia jual kepada petani Cina yang datang secara berahsia ke rumahnya! Kemudian menerusi radio ada dengar kerajaan kata, rakyat yang susah akan dibantu. tapi sehinggalah kami sekeluarga habis bersekolah semuanya hanya bagai tanam tebu di bibir! Kami akhirnya kenyang dalam kehidupan ini mengunyah kemiskinan berpanjangan. Kala itu, saya masih ingat betapa saya menyumpah agar kerajaan ketika itu hancur punah kerana terlalu marah tiada langsung bantuan diterima. Bayangkan, ketika itu saya masih di sekolah rendah! Bayangkan jiwa seorang anak kecil sehingga menyumpah kerajaan. Tentu jiwanya ketika itu luka tersangat-sangat mengenang nasib keluarganya.

Kini selepas lebih 50 tahun merdeka, saya melihat senario serupa masih berlaku. Keadaan apa yang dikatakan kesungguhan pemimpin Melayu untuk membantu bangsanya seakan-akan tiada. Hanya retorik semata-mata. Kalau benar, tentu Melayu sekarang telah jauh berubah tempat duduknya di negara ini. Saya tetap mempertahankan bukan salah orang Melayu, tapi salah pemimpin dan parti Melayu. 

Sejak merdeka, mereka terus menggunakan lalang sehelai untuk berlindung. Hakikatnya reformasi yang lahir dari dalam jiwa yang luhur untuk membantu kemajuan bangsa dan negara tak pernah tumbuh. Ia sering diracun oleh kepentingan sendiri dan dipasang dengan jebak-jebak untuk mengaut keuntungan peribadi dalam tempoh singkat. Tentang Melayu terseksa, adakah mereka peduli? Tapi Tuhan ada!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10