NAK TEGUR sikit Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Katanya, secara purata seisi rumah hanya menggunakan 2kg gula sebulan. Maka katanya, itu hanya membabitkan kenaikan 50 sen sebulan! Begitu senang dia memberi jawapan tentang kenaikan harga gula, sesenang dia menganggap kenaikan harga gula tidak membebankan rakyat jelata.
Sukacita diberitahu wahai saudara Ismail Sabri bahawa saudara menjawab masalah kenaikan harga gula ini dari satu sisi atau sudut yang amat kecil pada pandangan mata saudara.Memang benar sesisi rumah hanya mengalami kenaikan 50 sen sebulan dalam perbelanjaan gula mereka. Tapi saudara tidak melihat betapa seksa yang sedang menimpa golongan peniaga minuman, peniaga makanan, khususnya kuih muih. Ada di antara mereka, khususnya yang perniagaannya berskala sederhana menggunakan 50 kilogram gula sehari, yakni yang terbabit dalam pembuatan minuman botol. Kalau sekilo gula naik 25 sen, 50 kilo bermakna mereka berdepan kenaikan harga gula sebanyak RM12.50 sehari. Kalau sebulan kos tambahan akibat kenaikan gula ini mencecah RM375. Ini baru melibatkan gula, belum lagi membabitkan kenaikan bahan bakar untuk pengangkutan!
Peniaga minuman tepi jalan pun menggunakan 2 kilo gula sehari. Ini bermakna 50 sen sehari atau RM15 sebulan terpaksa mereka ketepikan semata-mata untuk menampung kos kenaikan itu. Bagaimana pula nasib umat Islam yang akan menyediakan kuih-muih menjelang raya ini. Sudahkah saudara menyelam perasaan mereka!
Saudara yang saya hormati, cubalah memandang dengan bukaan mata yang lebih luas. Apabila gula naik, adakah saudara yakin harga minuman tidak akan naik, yakni kekal seperti asal? Apakah restoran mampu mengekalkan harga biasa? Setakat ini pun, sekurang-kurangnya 20 sen kenaikan harga nescafe tarik telah dikesan di beberapa restoran di Selangor. Saudara mesti sedar, kenaikan harga gula bukan hanya boleh dipandang pada beban seisi rumah, tetapi pada beban secara menyeluruh yang dihadapi oleh masyarakat. Sedangkan syarikat pembuat makanan dan minuman terbesar telah mengumumkan bahawa kenaikan tidak dapat dielakkan, apakah saudara yakin kenaikan harga gula tidak akan mendapatkan petaka berterusan kepada rakyat?