nuffnang ads

Sunday, July 11, 2010

BN DUDUK SEBELAH, PR DUDUK SEBELAH: BACA SAMA-SAMA.


Seseorang memperkenalkan dirinya sebagai Prof Boel datang dalam mimpi saya malam tadi. Dia mendakwa pakar taktikal dan perang saraf politik. Tak banyak latar belakang dia yang dapat saya kutip kecuali yakin benar dia memang Boel kerana ketika datang mendekati saya, dia masih memakai tanda nama pada saku baju sebelah kiri.

Begini ceritanya. Dia bertanya saya secara spontan tentang kekuatan antara BN dan pembangkang. Saya spontan kata, tak banyak beza. Kalau BN menang, BN tak menang besar. Kalau PR kalah, PR tak kalah besar.

Terus dia hala pokok tujuan datang berjumpa. Katanya, dia mencadangkan supaya satu formula yang telah dicubanya di beberapa negara lain, diguna pakai oleh mana-mana parti politik di negara ini. Maknanya BN boleh guna, PR pun boleh guna. Saya hanya mendengar.

Nama formula yang diusulkannya itu ialah KAHWIN SILANG. Bila mendengar nama formula itu saya bertanya terus. Kenapa mahu memperkenalkan formula itu di negara ini. Prof Boel beri alasan, berdasarkan kedua-dua parti dalam keadaan sama kuat dan sama tak lemah, jadi formula itu mungkin boleh membantu mana-mana parti menjatuhkan sesama masing-masing. Tujuannya supaya salah satu parti menjadi kuat dan semakin kuat.

Saya tanya bagaimana. Begini, kata prof Boel. Kahwin silang bermakna lelaki daripada mana-mana parti (BN atau PR) mesti mencuba untuk menculik wanita dalam parti lawan, merebut cinta mereka dan kemudian berkahwin. Dengan perkahwinan, lelaki akan jadi suami dan mesti menjalankan jarumnya secara halus menarik isteri supaya meninggalkan parti lama dan menyokong parti yang didokong oleh suaminya. Dengan melakukan taktik ini, sokongan wanita parti lawan akan berkurangan dan pada masa yang sama si suami mesti juga meracuni pemikiran keluarga sebelah isteri yang sebelumnnya memihak kepada parti lawan. 

Kata prof Boel lagi, walaupun tempoh taktikal yang dicadangkan bagi melaksanakan misi itu mesti di antara 12 bulan dan 24 bulan bagi menampakkan hasil, formula yang diperkenalkannya itu masih belum terlambat untuk digunakan di negara ini. Ini kerana katanya, pilihanraya mungkin lambat sikit di negara ini walaupun desas-desus ia akan diadakan awal berkencang deras. Saya hairan juga macam mana dia boleh tahu. 

Bagi menguatkan hujahnya lagi, dia memberitahu saya sesuatu yang kurang saya fikirkan. Kata prof Boel, ramai perempuan di negara ini sebenarnya penyokong parti yang lemah. Diberikannya contoh ribuan perempuan negara ini yang sepatutnya mengundi parti yang mereka sokong tetapi telah hilang hak apabila dibawa lari oleh warga asing seperti Lombok, Bangladesh, Pakistan, Eropah dan beberapa negara lain sejak bertahun-tahun. Itu kata prof Boel adalah antara contoh kenapa formula kahwin silang ini mudah dilakukan oleh lelaki mana-mana parti di negara ini. 

Prof Boel bertanyakan saya. Parti mana yang mempunyai golongan wanita muda yang paling ramai. Entah kenapa saya teringatkan Puteri Umno. Ramai juga Puteri Umno yang cantik-cantik, terutama yang tidak memakai tudung. Selalu nampak rambut mereka berwarna emas. Lalu saya katalah wanita  yang ramai cantik-cantik ada dalam Umno. Perggghh...luah prof Boel. Sudah bagus katanya. "Maknanya, formula ini boleh digunakan oleh lelaki dalam parti pembangkang. Mulai sekarang katanya, lelaki parti pembangkang mesti memikat dan mencairkan perasaan ahli wanita parti lawan mereka. Mereka mesti menggunakan kaedah pujukan untuk meraih cinta ahli wanita berkenaan sehingga mereka bersedia untuk berkahwin" katanya.

Prof Boel berkata lagi, kalaulah 5,000 lelaki parti pembangkang dapat berkahwin silang dengan wanita parti lawan, mereka boleh melumpuhkan kekuatan parti berkenaan. Begitu juga jika parti lawan menggunakan taktik serupa.

Arus sungai lucu di antara kerut kening saya terasa membuak-buak mendengar kenyataannya itu. Kata saya, kalau setakat 5,000 yang berjaya dipikat masih tak cukup lagi. Masih tidak mampu menggugat kekuatan parti lawan dalam erti kata perjuangan politik melibatkan hampir 8 juta keahlian kedua-dua parti berkenaan.

Lalu prof Boel tersenyum, menampakkan  lesung pipit jantannya di antara cengkung rahangnya yang berbentuk V. "Bro..." katanya. "Itu belum kira ahli keluarga yang rapat dengan wanita yang berjaya dikahwini. Kalau satu wanita membawa 3 keluarganya berpindah sokongan kepada parti si suami, sudah jadi 15,000!"

Woww..Tapi belum sempat saya bertanya lagi, prof Boel memintas. "Bro juga kena ingat..orang Islam lelaki boleh kahwin empat. Katalah seorang lelaki parti dapat berkahwin dengan tiga wanita parti lawan, jumlahnya lagi bertambah. Asal matematik ada 15,000 tapi bila tambah 15,000 lagi angkanya cukup lumayan. Boleh jatuh parti lawan!" dia berhujah. Sesekali wajahnya mirip Moshe Dayan. Sesekali tak ubah seperti memerang tersangkut di jaring.
Ketika prof Boel meminta izin untuk pulang selepas mendesak saya memperkenalkan taktik KAHWIN SILANG itu kepada parti-parti di negara ini, saya sempat bertanya. Saya tanyakan dia. "Itu kalau si isteri boleh ikut cakap suami. Tapi macam mana kalau dapat isteri semua yang jadi queen control? Mahu terbalik hasilnya!"

Prof Boel tersenyum. "Itulah risikonya formula ini tapi ia tetap membawa hasil serupa. Tapi ia tetap memenangkan salah satu parti untuk menjatuhkan parti lawan. Kalau tak mahu keadaan jadi terbalik, parti-parti yang ingin mengamalkan strategi atau formula Kahwin Silang ini mesti memilih hanya lelaki perkasa dan mampu menguasai perasaan dan fikiran isteri sahaja melaksanakan tugas itu!"

Sebelum dia pergi saya sempat bertanya. "Di mana prof Boel cipta formula perang saraf menjatuhkan parti lawan ini?"

Dengan selamba dia menjawab. "Semua formula asalnya datang dari negara yang tiada hubungan dengan negara kamu!"

Ptuuuiiiii! Terus saya meludah dan mata pun terbuka.

DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Guna cara berhemah untuk berlawan. Itulah cara terbaik. Kalau menang tidak diragui. Kalau kalah tidak dicaci.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10