nuffnang ads

Saturday, July 10, 2010

APA KATOGERI BERITA YANG DISIARKAN INI?

(dipetik dari akhbar Berita Harian 9 dan 10 Julai 2010)

Kebanyakan akhbar, terutama akhbar arus perdana menyiarkan berita tentang modul latihan ESQ diharamkan di Wilayah Persekutuan apabila Muftinya, Datuk Wan Zahidi Wan Teh menandatangani warta pengharaman itu. Sebaliknya, tiada negeri lain yang mengambil langkah sama. Malah beberapa tokoh agama seperti Mufti Perak Datuk Harusani Zakaria, berkata Muzakarah Jawatankuasa Kebangsaan pada 16 Jun lalu, memutuskan modul program ESQ boleh diteruskan.

Mufti Kedah, Datuk Muhamad Baderuddin Ahmed pula seperti dilaporkan Berita Harian, membenarkan program itu kerana tiada masalah berkaitan penyelewengan akidah dalam kandungan modulnya.

Di Pahang pula, muftinya sendiri, Datuk Abdul Rahman Osman, mengakui pernah menghadiri program ESQ dan mendapati ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Nah. Sekarang benar seperti kata Kunta-Kinte, sumber beritalah yang sering menyebabkan sesuatu berita itu wibawa atau tidak. Dalam kes ini maklumat yang diperolehi daripada sumber berita berkenaan juga telah menimbulkan dilema lain. Ketika kita tidak boleh menuding jari mengatakan mufti Datuk Wan Zahidi telah menyampaikan berita salah, pandangan mufti-mufti lain yang mengatakan modul program itu tidak haram juga sukar dipertikaikan. Mereka menyalurkan maklumat dari dalam acuan bidang kuasa masing-masing. Cuma yang berbangkit ialah satu dilema. Siapa yang salah? Kalau pemberi maklumat atau sumber berita tidak salah adakah kesalahan mesti diletakkan kepada pemberita/wartawan/penulis yang menulis maklumat itu?
Keadaan ini telah menyebabkan wartawan dan media tersepit. Hakikatnya kerosakan telah sedia berlaku. Persepsi dan tanggapan masyarakat, baik kepada umat Islam mahupun bukan Islam mulai celaru. Kekeliruan telah tercetus akibat laporan berita yang melaporkan program ESQ itu haram. Kini ia menjadi rumit. Soal benar atau tidak benar semakin sukar dijawab. Ia isu agama yang sensitif dan memerlukan kesepakatan untuk diselesaikan. 

Persoalan lain ialah tergamakkah kita melabelkan berita ini sebagai fitnah atau tidak betul kerana ia sememangnya telah mengelirukan pemikiran dan silap-silap boleh merosakkan akal budi pembaca. Mereka kini terbiar dalam keadaan keliru dan celaru.

Hal-hal sebeginilah dalam dunia kewartawanan yang selalu menimbulkan polemik. Bagaimanakah tanggapan parti memerintah kalau berita pengharaman modul itu disiarkan secara besar-besaran oleh akhbar pembangkang? Apakah katogeri sesuai yang boleh kita jeniskan berita seumpama itu. Berita  yang benar atau salahnya masih tak tercapai dek akal lagi. Bagaimana pula tanggapan di kalangan pemimpin parti pembangkang kerana berita itu disiarkan muka depan akhbar arus perdana seperti Berita Harian? Salahkah kalau mereka menegur supaya media arus perdana jangan menyiarkan berita yang tidak tepat atau boleh mengelirukan pembaca?

DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Yang lurus tak semestinya bendul, yang bengkok tak semestinya cangkuk.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10