SHAH ALAM: Tahniah Kamalanthan. Kemenangan telah digapai. Impian sedang menuju puncak. Kelebihan undi sebanyak 1,725 adalah bukti yang mengesahkan sebuah kemenangan. Namun jangan lupa, harga tentang sebuah kemenangan terlalu mahal. Kemenangan pula dinilai daripada pelbagai sisi.
Sudahkah anda bersedia memikul beban yang diberikan oleh sebuah kemenangan yang telah diperolehi itu? Apakah anda yakin bahawa anda selayaknya menang? Apakah kemenangan anda sebenarnya adalah kerana anda kuat dan lawan anda, Datuk Zaid Ibrahim lemah? Apakah kemenangan anda sebenarnya adalah kemenangan Barisan Nasional dan kekalahan bagi Pakatan Rakyat?
Saya menyarankan anda agar tidak berlebih-lebihan untuk meraikan kemenangan ini. Pada pandangan saya anda sebenarnya "kalah" dalam erti kata sebenar. Walaupun kemenangan dengan satu undi sekalipun tetap dianggap menang, tapi jumlah majoriti yang anda perolehi sebenarnya tidak menggambarkan kemenangan.
Maksud saya dengan segala kekuatan yang datang membantu anda, termasuk janji pembangunan dan tumpuan istimewa kepada pengundi di Hulu Selangor oleh jentera BN serta entah berapa banyak peruntukan dijanjikan kepada pengundi, jumlah majoriti yang anda perolehi tidak berbaloi.
Perlu diingat jumlah undi diperolehi PKR tidak berkurangan berbanding jumlah diperolehi calon parti itu pada 2008. Malah jumlah diperolehi Datuk Zaid juga sedikit bertambah. Kalau dilihat pada angka lebih 23,000 undi yang diperolehi PKR, sebenarnya kemenangan BN tidak menjanjikan apa-apa harapan. Ia sekadar kemenangan biasa yang disahkan oleh kelebihan angka semata-mata.
Pada segi martabat, darjat dan harga diri, kemenangan ini tidak menggambarkan apa-apa. Oleh itu, Kamalanathan harus bersedia untuk bekerja lebih keras. Jangan jadikan kepala sahaja keras seperti batu, tapi keraskan hati untuk memenuhi segala janji yang telah diluahkan kepada pengundi selama ini.