APAKAH nasib atau masa depan Hosni Mubarak sama seperti bekas presiden Anwar Sadat atau sama seperti Presiden Tunisia Ben Ali yang melarikan diri bersama isterinya Leila selepas rakyat bangkit menentang pemerintahan mereka?
Apakah ada persamaan nasib Hosni ketika keadaan di Mesir kini dikatakan sangat meruncing? Apakah nasibnya sama seperti Anwar Sadat yang ditembak oleh pembunuhnya ketika menghadiri majlis perbarisan ketenteraan atau sama senasib dengan Zine El Ben Ali?
Tidak sanggup kita berharap nasibnya sama seperti Anwar, tetapi dalam politik apa sahaja boleh terjadi. Risiko bagi pemimpin yang ditolak oleh rakyat secara kasar sebenarnya amat besar dan meruncing. Jika Zine El Ben Ali segera melarikan diri, tetapi Hosni pula tetap bertahan, mahu memastikan kuasanya terus mencengkam.
Apakah kedegilan Hosni ini akan mengundang padah. Sukar meramalkan, tetapi semuanya berkemungkinan dalam hidup sebagai pemimpin yang mula dibenci. Dunia melihat semua ini penuh curiga dan wasangka serta simpati. Kuasa politik sesebuah negara sebenarnya ada pada rakyat. Apabila kuasa rakyat yang dipinjamkan kepada pemimpin diminta dipulangkan semula, inilah jadinya.