Hosni Mubarak main kotor, taja kakitangan Kementerian Dalam Negeri jadi samseng buat huru hara |
KETIKA rakyat mengeluh dengan peningkatan kadar pecah rumah dan rompakan, terutama membabitkan kediaman persendirian, pasar raya dan bank, rupanya semua itu adalah taktik kotor Presiden Mesir, Hosni Mubarak.
Dalam satu taktik untuk menakut-nakutkan rakyat, Hosni Mubarak dikatakan mengarahkan polis membiarkan semua bangunan, termasuk kedai, pasaraya dan bank dibiar tanpa kawalan.
Pada masa yang sama Hosni mengarahkan kumpulan samseng yang diupah kerajaan, kesemuanya kakitangan terpilih terutama dari Kementerian Dalam Negeri merosak, membakar dan merompak premis perniagaan yang terbiar tanpa kawalan itu.
Tujuan Hosni ketika kuasanya tinggal nyawa-nyawa ikan ialah mahu meraih simpati rakyat, kononnya semua kerja menyamun, merompak dan pemalingan serta perampokan itu dilakukan oleh perusuh. Akibatnya tentulah kita faham supaya rakyat simpati kepada beliau dan kerajaannya dan menyalahkan penunjuk perasaan!
Taktik ini didedahkan oleh Ketua Parti Egypt Tomorrow, Ayman Nour. Menurut Ayman kepada The Age, pihaknya berjaya membongkar taktik buruk presiden Hosni itu apabila melihat hampir kesemua yang merosakkan bangunan, merompak dan menyamun itu mempunyai kad pengenalan diri sebagai kakitangan kementerian Dalam Negeri.
Ini diperkuatkan lagi bukti apabila ketika kumpulan samseng kerajaan ini melakukan kerja jahat menyamun, mencuri dan merompak, tiada seorang anggota polis pun bertugas mengawal premis yang dijadikan sasaran. Ketua Polis dipercayai telah diberi arahan agar mengarahkan anggotanya mengosongkan premis yang dikenalpasti akan diceroboh oleh samseng tajaan Hosni Mubarak itu.
Malah dakwa Ayman lagi, kejadian banduan melarikan diri juga mempunyai kaitan dengan taktik kotor Hosni. Beliau dikatakan mengarahkan supaya beberapa penjara dipecahkan agar banduan yang dipenjara boleh keluar dan membantu melakukan kerja-kerja jahat tajaan kerajaan pimpinan Hosni.
Namun kini taktik buruk seorang presiden yang dikatakan "rumah kata pergi, kubur kata mari" itu mulai disedari rakyat. Rakyat berbahagi kumpulan untuk mengawasi kediaman atau premis perniagaan agar tidak dirimpak atau disamun oleh samseng kerajaan itu. Pada masa yang sama ribuan rakyat yang lain terus menekan Hosni agar faham dan reti.
Slogan penunjuk perasaan juga mulai berubah hari ini dari KAMI BENCI HOSNI kepada PESAWAT TELAH MENUNGGU, APA LAGI HOSNI!