SELEPAS Tunisia, Mauratania, Algeria dan Mesir, kini India dan Jordan pula dilanda demam kebangkitan rakyat yang memprotes kerajaan negara berkenaan.
Di Jordan, perhimpunan diadakan di depan kedutaan Amerika Syarikat mengutuk pembabitan negara itu bersama kerajaan Jordan dalam apa yang mereka panggil sebagai perompakan harta negara dan rakyat.
Di India pula, ribuan rakyat menunjuk perasaan di beberapa bandar besar seperti New Delhi, Mumbai dan Bangalore hari ini memprotes kerajaan sedia ada kerana didakwa terbabit dalam skandal rasuah yang keterlaluan.
Penunjuk perasaan mendakwa banyak rasuah melibatkan wang dalam jumlah amat besar dilakukan kerajaan termasuk skandal pemotongan harga lesen telefon bimbit yang membabitkan kehilangan lebih RM100 bilion dan skandal rasuah membabitkan Sukan Komanwel yang dianggarkan melebihi RM16 bilion.
Nampaknya kemiskinan dan kemelaratan rakyat akibat sikap kerajaan yang curang, menyeleweng dan menyalahguna kuasa menjadi antara penyebab utama kebangkitan kuasa rakyat di beberapa negara di dunia sejak awal tahun ini.
Barangkali benar juga deklarasi dan kesimpulan yang dibuat oleh tujuh Menteri Pertanian dari Eropah, Perancis, Kanada dan Afrika baru-baru ini bahawa kenaikan harga barangan makanan akan menyebabkan banyak negara akan tergugat kestabilan politik akibat rusuhan yang bangkit dari kemarahan rakyat menderita.