TENTU ramai sedar banyak bukan Islam menggunakan nama Melayu dalam urusan tidak rasmi seharian! Namun kalau nama itu digunakan untuk kepentingan tertentu seperti mencari pengaruh atau keuntungan komersil, tolong hentikan!
Tidak salah kalau nama kamu Lee, tapi kamu suka kawan kamu dari kalangan orang Melayu memanggil Ali. Tak salah juga jika nama kamu Raman Vellu tapi kamu suka kawan kamu orang Melayu memanggil kamu dengan nama Rahman, sebagai tanda kemesraan.
Namun kamu tentunya tidak jujur jika menggunakan nama Melayu yang tentunya menggambarkan kamu sebagai Islam jika bertujuan meraih sokongan misalnya dalam politik atau perniagaan. Kegemaran menggunakan nama Melayu sedangkan mereka bukan Islam bukan perkara luar biasa di negara kita hari ini.
Dalam dunia perniagaan ada orang bukan Melayu dan bukan Islam tulis nama mereka pada kad perniagaan masing-masing sebagai nama Melayu di pangkal atau di hujung nama mereka. Ini semua untuk apa? Kalau bukan kerana kamu bertujuan untuk meraih keuntungan peribadi, usah bohong!
Kita bimbang misalnya jika mereka menggunakan nama Melayu, terutama dalam jualan langsung semata-mata untuk menarik lebih ramai orang Melayu masuk kumpulan jualan langsung mereka. Mereka mahu menjadikan orang Melayu lebih ramai sebagai ahli (atau sebagai batu loncatan) atas laungan berdegar-degar konon untuk menjadi jutawan!
Kerajaan tidak boleh memandang ringan masalah ini kerana apabila terjadi sesuatu yang di luar duga, terutama melibatkan hal sensitif, semua ini akan jadi isu yang mengelirukan dan boleh menjadi api dalam sekam yang membakar perpaduan.
Kamu boleh senang dengan membiarkan kawan-kawan kamu memanggil kamu dengan nama Melayu tapi kami tidak izinkan kamu gunakan nama Melayu pada kad perniagaan kerana kami tahu sebahagian besar daripada kamu melakukannya dengan niat tidak jujur!