Ahli kumpulan pengganas wanita antara yang terakhir diberkas polis Indonesia di Sumatera Utara, dibawa menaiki kenderaan polis petang tadi. |
POLIS menyerbu sebuah rumah kosong di kawasan berdekatan sungai dan bukit di Deli Serdang, sebelum mengarahkan kesemua isi rumah keluar menyerah diri. Namun tiada sesiapa keluar dan patuh dengan arahan itu, menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan ke udara.
Apabila tiada juga sesiapa yang keluar menyerah diri, polis terus menyerbu dan bersiap untuk melepaskan tembakan di dalam rumah berkenaan, sebelum mereka terserempak kelibat seorang wanita mengangkat tangannya tanda menyerah dengan wajah selamba.
Pada waktu yang sama, tiga lelaki keluar dari pintu belakang dan cuba menaiki tiga motosikal, namun berjaya diberkas.
Itu adalah antara kronologi serbuan terbaru polis Indonesia dalam operasi empat hari berterusan di Sumatera Utara bagi menumpaskan kumpulan pengganas bersenjata api yang disyaki terbabit menyerang Markas Polis Hamparan Perak dan membunuh tiga anggota polis, tiga minggu lalu. Kumpulan yang sama turut terbabit merompak bank CIMB Niaga dan tiga mesin ATM di kampus sebuah universiti, baru-baru ini.
Ketua Polis Sumut, IrJen Oegrosono, memberitahu media Indonesia, dalam serbuan terbaru petang tadi, sau-satunya wanita ahli kumpulan pengganas itu yang berjaya diberkas, mengakui bersenjata dan turut memberi maklumat kumpulan pengganas berkenaan juga mempunyai kumpulan yang amat ramai bilangannya.
Maklumat itu sama seperti diberikan oleh pengganas yang ditembak sehari sebelumnya, Robin Simanjuntak
yang memberitahu kumpulan berkenaan mempunyai keahlian yang besar dan mempunyai banyak senjata api jenis m-16 dan AK 47.
Dengan penahanan terbaru petang tadi, jumlah sebenar pengganas yang ditewaskan polis sehingga malam ini adalah seramai 13 orang. Bagaimanapun, enam daripada mereka telah kembali ke rahmatullah kerana terkena tembakan polis dalam beberapa serbuan!